BANGI, 21 Ogos – Setiap institusi pendidikan tinggi (IPT) dalam negara akan diberikan peranan dalam menyebarluaskan konsep Malaysia MADANI menerusi beberapa program yang direncanakan, kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata konsep Malaysia MADANI merupakan gagasan besar yang bersifat etos nasional dan memerlukan pengisian yang praktikal dan strategik dalam mencapai matlamat konsep tersebut.

Etos nasional merujuk kepada watak, karakter, sikap, etika, keperibadian dan keyakinan atas sesuatu perkara yang dapat menggambarkan ciri-ciri semangat yang dikongsi bersama oleh masyarakat.

“Setiap universiti akan ada peranannya (menyebar luas konsep MADANI), sebab MADANI bukan hanya satu perkara sahaja tetapi ia meluas dan kita hendak supaya ia menjadi nilai yang mengangkat negara kita,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Debat Perdana MADANI 2023 edisi sulung di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Sebagai contoh, katanya UKM diberi tanggungjawab menganjurkan Debat Perdana MADANI yang menghimpunkan para ilmuwan dan cendekiawan tempatan dan luar negara bagi bicara berkenaan senario Malaysia MADANI dari sudut sosial dan ekonomi.

Pada 19 Jan lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memperkenalkan Malaysia MADANI sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia. 

MADANI itu diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Mohamed Khaled berkata Debat Perdana MADANI merupakan projek negara dan pentas bagi memperincikan strategi dan tindakan bagi menjayakan Malaysia MADANI.

“Idea besar yang baik, jika tidak diterjemahkan dengan cara berkesan ia akan berakhir sebagai sekadar slogan kosong,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata debat perdana itu bertujuan mencerakin dan menelusuri secara mendalam gagasan Malaysia MADANI dari pelbagai dimensi agar difahami masyarakat.

Debat Perdana MADANI 2023 yang berlangsung selama sehari itu antara lain menampilkan Felo Akademi Sains Malaysia Datuk Dr Madeline Berma, penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian dan pakar kajian tamadun Universiti Malaya Prof Datuk Dr Azizan Baharuddin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here