KUALA LUMPUR, 24 Ogos – Ketua Pasukan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) akan berlepas ke Amerika Syarikat (AS) petang ini, untuk menghantar memory puck yang terdapat di dalam perakam suara kokpit (CVR) milik pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1), ke makmal di Florida untuk diekstrak dan dianalisa.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata penganalisaan data itu akan dibuat seawal pagi Isnin (waktu AS), kerana segala persiapan termasuk pelepasan daripada pihak makmal pengilang peralatan asal (OEM) CVR berkenaan, telah dilakukan dalam tempoh dua hari ini.

“Ketua BSKU akan berlepas ke Florida pada 7 petang ini, sebab beliau baharu mendapat kelulusan visa baru pagi tadi dan beliau dijangka berada di AS beberapa hari ini.

“Pada pagi Isnin, beliau bersama pasukan makmal OEM akan membuka memory puck CVR tersebut, untuk mengekstrak data dan dianalisis dan kemudiannya pulang untuk membuat laporan,” kata beliau dalam sidang media di sini, hari ini.

Ditanya mengenai pandangan sesetengah penganalisis bahawa peluang untuk mengetahui punca sebenar kejadian tipis berikutan keadaan CVR rosak teruk, Loke berkata itu hanya pendapat masing-masing dan kerajaan berusaha untuk melakukan yang terbaik.

“Jangan buat apa-apa rumusan sekarang. Kita cuba usaha yang terbaik dengan pergi ke makmal OEM untuk mengesktrak data, jadi sebelum kita sampai ke makmal tersebut, saya harap tiada rumusan diputuskan oleh mana-mana pihak, kerana kita komited dengan tugas dan tangungjawab dalam mencari punca nahas,” katanya.

Pada masa sama, beliau telah diberi jaminan oleh Ketua BSKU bahawa laporan awal kejadian akan dapat dikeluarkan dalam tempoh 30 hari, selepas nahas itu berlaku.

“Kita kena faham bahawa saya tidak boleh mendesak Ketua BSKU untuk siapkan laporan itu, sebab ia mesti dibuat berdasarkan kepada protokol Annex 13-Aircraft Accident and Incident Investigation, International Civil Aviation Organisation (ICAO Annex 13).

“Beliau tidak boleh sesuka hati membuat laporan dan pula kita terbitkan laporan begitu sahaja tapi beliau telah beri komitmen dalam masa 30 hari, laporan mesti disiapkan. Jadi berikan kami sedikit masa,” katanya.

Dalam kejadian pada Khamis lepas itu, sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang dan kru, terhempas di kawasan Elmina.

Semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban, selain dua orang awam iaitu seorang penunggang p-hailing dan seorang pemandu e-hailing yang melalui tempat kejadian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here