KUALA LUMPUR, 25 Ogos – Jumlah kes demam denggi menurun sebanyak 55 kes kepada 2,487 kes pada Minggu Epidemiologi ke-32 (ME32) iaitu bagi tempoh 6 hingga 12 Ogos berbanding 2,542 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata empat kematian akibat komplikasi demam denggi turut direkodkan pada ME32.

Katanya, kumulatif kes demam denggi yang dicatatkan setakat ini adalah sebanyak 73,680 kes berbanding 33,911 kes bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan sebanyak 39,769 atau 117.3 peratus. 

“Sejumlah 53 kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama tahun lepas iaitu peningkatan 31 kematian atau 140.9 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Dr Muhammad Radzi berkata 73 lokaliti hotspot dilaporkan pada ME32, berkurang berbanding 86 pada minggu sebelumnya dengan 57 lokaliti berada di Selangor, 12 lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Sabah (dua) serta masing-masing satu di Negeri Sembilan dan Kedah. 

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata lima kes direkodkan pada ME32 seterusnya menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini 152 kes. 

Bagi survelan zika pula, 1,932 sampel darah serta 141 sampel urin disaring dan hasilnya semua negatif.

Beliau menasihati orang ramai supaya melakukan aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam dan persekitaran luar premis bagi memutuskan rantaian hidup nyamuk. 

“Telur nyamuk dapat bertahan dalam keadaan kering hingga lapan bulan dan dapat menetas semula sekiranya terdapat sumber air, maka bekas takungan air perlu kerap dibersihkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here