KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan dan penggiat industri dalam sektor semikonduktor perlu bekerjasama rapat bagi memastikan negara dapat terus melahirkan bakat terbaik dalam industri pada masa depan.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata budaya inovasi hanya boleh dibentuk jika lebih banyak syarikat baharu dimulakan oleh pengasas profesional muda yang baik dan cukup yakin untuk berdikari bagi menambah nilai dan inovasi kepada industri secara keseluruhan.

“Banyak syarikat semikonduktor memberitahu saya bahawa mereka sanggup menyerap siswazah baharu dan melatih mereka di tempat kerja supaya mereka boleh belajar mengenai selok-belok industri dan kemahiran teknikal yang diperlukan untuk berjaya.

“Ini adalah bahagian penting dalam penstrukturan semula ekonomi kita. Mana-mana ekonomi yang pertumbuhannya konsisten dan berkekalan memerlukan pemimpin yang bersedia untuk berinovasi pada kecanggihan teknologi. Ini penting jika kita fokus dalam rantaian nilai industri seterusnya,” katanya pada Sambutan Merdeka 2023 anjuran Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA), di sini hari ini.

Rafizi berkata negara memerlukan lebih ramai orang untuk mengambil risiko untuk membina produk, pasukan dan kontrak jangka panjang mereka yang akan menambah pertumbuhan ekonomi dalam tempoh jangka panjang.

“Saya gembira kerana kita berada pada waktu penting ini untuk industri semikonduktor di negara ini. Masa depan kelihatan cerah dan saya berharap negara kita dapat meneruskan untuk menerajui sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi ini menerusi bantuan dan sumbangan anda (penggiat industri semikonduktor).

“Walaupun saya mungkin tidak menghabiskan terlalu banyak masa dalam industri secara keseluruhan, salah satu bidang tumpuan penting saya ialah memastikan kita membimbing bakat masa depan untuk industri anda kerana itu adalah perkara utama kepada reka bentuk keseluruhan untuk menyusun semula ekonomi,” katanya.

Sementara itu, Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata Malaysia diiktiraf sebagai salah satu pengeluar semikonduktor utama dalam rantaian nilai global dengan 7.0 peratus perdagangan semikonduktor global mengalir melalui Malaysia dan 13 peratus kapasiti semikonduktor backend terletak di negara ini.

“Peluang tersedia untuk Malaysia. Pelabur masih tertarik dengan naratif Malaysia seperti yang dibuktikan oleh pengumuman pelaburan baru-baru ini seperti pelaburan Infineon €5 bilion (RM25 bilion), Texas Instruments (RM15 bilion), TF-AMD (RM2 bilion), Intel AS$7.1 bilion (RM30 bilion), AT&S (RM8.5 bilion), Bosch (RM1.6 bilion) dan banyak lagi.

“Bagi produktiviti buruh, subsektor elektrik dan elektronik (E&E) mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2021, mencatatkan 12 peratus dengan nilai tambah RM198,437 bagi setiap pekerjaan. Pertumbuhan itu adalah yang tertinggi dalam kalangan subsektor di bawah Productivity Nexus dan ia menggandakan purata produktiviti negara sebanyak RM90,647. Selain itu, purata gaji industri E&E menggandakan gaji purata negara,” katanya.

Walaupun industri semikonduktor telah wujud selama lebih 50 tahun di Malaysia, Wong berkata industri itu masih dianggap sebagai ekonomi baharu dan juga blok binaan kritikal bagi ekonomi hijau baharu.

“Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan kerajaan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030. Kami percaya industri E&E akan membantu Malaysia menjayakan pelan tersebut, bagi mencapai negara yang makmur dan menawarkan pekerjaan bergaji tinggi ,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here