KUALA LUMPUR, 31 Ogos – Sebanyak 2,248 kes demam denggi dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi ke-33 (ME33) bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos, menurun sebanyak 239 kes atau 9.6 peratus berbanding 2,487 kes pada minggu sebelumnya.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata dalam tempoh sama, satu kes kematian dilaporkan akibat komplikasi demam denggi.

Beliau berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME33 adalah 75,928 kes berbanding 35,330 kes bagi tempoh sama pada 2022, iaitu peningkatan 115 peratus atau 40,598 kes.

“Sejumlah 54 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bilangan lokaliti “hotspot” meningkat kepada 74 berbanding 73 pada minggu sebelumnya, iaitu 53 lokaliti di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (17), Negeri Sembilan (dua) dan masing-masing satu di Sabah dan Perak.

Mengenai survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata dua kes direkodkan pada ME33 menjadikan jumlah kumulatif kes chikungunya sebanyak 156 kes setakat ini.

“Manakala, bagi survelan zika, sebanyak 2,026 sampel darah dan 153 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here