PUTRAJAYA, 1 Sept – Kepelbagaian dan perpaduan unik rakyat Malaysia telah membangkitkan perasaan kagum dalam kalangan warga asing yang hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan 2023 berlangsung di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Nathan Van Beers, 19, dari Belanda berkata beliau banyak mendengar mengenai perayaan itu dan teruja untuk menyaksikan sendiri sambutan itu yang dapat mengimbau kenangan indah negaranya.

“Saya kagum melihat rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum boleh berkumpul dan meraikan sambutan ini bersama-sama.

“Saya amat teruja. Orang Malaysia sangat baik dan cantik, pakaian yang berwarna-warni, kereta dan semuanya adalah menyeronokkan… Saya suka dan saya lebih meminati kontinjen tentera dan formasi jet,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Berpakaian tradisional Melayu, pemuda Belanda itu yang ditemani dua rakannya, Leon Quist, 19, dan Luka Heijligers, 18, trio pelajar pertukaran Universiti Taylor itu mendapat perhatian warga tempatan untuk berswafoto dengan mereka.

Mengenai pemakaian baju Melayu, Beers berkata mereka mahu menampilkan kelainan dan bergabung dengan masyarakat tempatan sambil merasai sendiri pengalaman terbaik menyambut Hari Kebangsaan ala Malaysia.

Bagi Le Hang Ling, 30, warga Vietnam berkata beliau tiba pada 5.30 pagi di Dataran Putrajaya dengan harapan untuk mendapatkan kedudukan terbaik.

“Saya membuat keputusan untuk datang ke sini hari ini bukan hanya untuk menyaksikan sambutan ini tetapi juga untuk melawat ibu kota pentadbiran Malaysia. Teruja melihat kepelbagaian dan budaya Malaysia yang berwarna-warni,” kata wanita itu.

Timbalan ketua misi Croatia, Ljiljana Vinkovic berkata sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini merupakan pengalaman kali kedua baginya.

“Ia lebih menarik pada tahun ini. Persembahan yang sangat mengagumkan serta budaya yang indah dan pelbagai,” kata wanita itu kepada Bernama.

Hadir dengan memakai batik untuk menyemarakkan lagi sambutan itu beliau berkata: “Ia adalah sangat istimewa bagi saya berpeluang untuk meraikan bersama rakyat Malaysia sambutan yang penuh bermakna ini.”

Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Panglima Udara Marshal Sumangala Dias berkata beliau kagum dengan semangat perpaduan yang dipamerkan rakyat Malaysia daripada pelbagai lapisan masyarakat bersama-sama meraikan sambutan itu.

Duta Algeria ke Malaysia Abdelhafid Bounour berkata beliau berbesar hati dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang turut meraikan hari jadinya hari ini.

“Saya gembira dapat meraikan sambutan Hari Kebangsaan bersama rakyat Malaysia dan mendoakan semoga anda semua mencapai kemajuan dan kemakmuran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here