Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucaptama secara maya pada Sidang Kemuncak Perdagangan Perkhidmatan Global yang berlangsung sempena Pameran Perdagangan Perkhidmatan Antarabangsa China (CIFTIS) hari ini.

Beliau berkata China bersedia bersinergi dengan semua negara untuk memperkasa pembangunan inklusif menerusi keterbukaan sektor perkhidmatan, menggalakkan integrasi menerusi kerjasama perkhidmatan, memupuk momentum pembangunan menerusi inovasi perkhidmatan dan mencipta masa depan yang indah menerusi perkongsian perkhidmatan.

Menurut beliau, China akan berusaha mewujudkan iklim pembangunan yang lebih terbuka dan terangkum menerusi siri pendekatan, termasuk memperluas jaringan kawasan perdagangan bebas berpiawaian tinggi yang menyasarkan dunia dan aktif menjalankan rundingan berhubung senarai negatif perdagangan perkhidmatan dan pelaburan.

Langkah juga akan diambil untuk meningkatkan keterbukaan dalam bidang telekomunikasi, pelancongan, undang-undang dan peperiksaan vokasional, di samping memperkenalkan peraturan ekonomi dan perdagangan setaraf antarabangsa di zon demonstrasi keterbukaan sektor perkhidmatan serta zon rintis dan pelabuhan perdagangan bebas.

Selain itu, China akan terus melonggarkan akses pasaran untuk sektor perkhidmatan, menggalakkan keterbukaan perdagangan perkhidmatan rentas sempadan, meningkatkan taraf standard perdagangan perkhidmatan sambil memperluas keterbukaan secara keinstitusian.

Xi menyatakan China bersedia merapatkan kerjasama saling untung melalui pemerkasaan penyelarasan strategi pembangunan dan inisiatif kerjasama dengan negara lain.

China akan memperdalam kerjasama perdagangan perkhidmatan dan digital dengan negara-negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), berusaha mempermudah aliran rentas sempadan pelbagai jenis sumber dan mewujudkan lebih banyak titik pertumbuhan bagi kerjasama ekonomi.

Beliau turut menzahirkan komitmen China untuk memantapkan pembangunan yang dipacu inovasi dan berkongsi hasil daripada pemodenan ala China dengan dunia.

Bertemakan ‘Openness Leads Development, Cooperation Creates a Win-Win Future’, CIFTIS 2023 dijadual berlangsung di Beijing pada 2 hingga 6 September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here