KUANTAN, 13 Sept – Pahang akan melipat gandakan usaha bagi memastikan lebih ramai usahawan di negeri ini memiliki pensijilan halal dan mengeluarkan lebih banyak produk makanan halal bukan sahaja bagi pasaran tempatan bahkan untuk dieksport ke luar negara.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini disebabkan permintaan yang tinggi terhadap produk makanan halal dalam kalangan pengguna di seluruh dunia.

“Tidak dinafikan di peringkat antarabangsa, pensijilan halal ini amat penting kerana para pelanggan akan rasa lebih terjamin untuk menggunakannya terutama dari segi bahan makanan, dan di negara kita sendiri tidak terkecuali.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ketika merasmikan Global Halal Summit (GHaS) 2023 telah meminta semua pihak untuk tambah baik dari aspek ini dan di Pahang kita mendapati masih ada ruang bagi meningkatkan pengeluaran produk makanan halal dan pensijilan halal,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PASFA 2023, di sini malam tadi.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata pihaknya amat komited ke arah usaha berkenaan, apatah lagi Pahang merupakan salah satu pengeluar sayuran terbesar di negara ini iaitu di Cameron Highlands.

Menyentuh mengenai majlis berkenaan, beliau menggalakkan PASFA  untuk mempelbagaikan tanaman dengan tidak hanya memberi tumpuan kepada penanaman sawit sebagai sumber pendapatan pertubuhan itu.

“Perubahan cuaca telah mengakibatkan bekalan makanan negara terjejas, dengan itu PASFA boleh memainkan peranan dengan menanam pelbagai tanaman sayuran dan buah-buahan bagi memenuhi keperluan makanan rakyat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here