KENINGAU, 14 Sept – Kerajaan Sabah menghargai komitmen kerajaan Persekutuan yang sentiasa berusaha membantu rakyat Sabah melalui pelbagai peruntukan pembangunan  dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata ini termasuk meluluskan projek pembinaan Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Keningau Fasa Dua dengan peruntukan RM60 juta.

“Saya juga berharap kerajaan Persekutuan mempertimbang pembangunan IPDAS Kampus Kudat Fasa Dua melalui peruntukan RMK13 agar ia turut memanfaatkan masyarakat sekitar seterusnya memenuhi agenda pendidikan dan peluang pekerjaan,” katanya pada Majlis Istiadat Konvokesyen IPDAS ke-17 di sini hari ini.

Katanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia melalui IPDAS dengan kerjasama Majlis Ugama Islam Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah, agensi kerajaan Persekutuan dan negeri, swasta dan beberapa badan bukan kerajaan sentiasa berganding bahu dalam memperkasa perkembangan syiar Islam di Sabah.

Sementara itu Ketua Menteri berkata beliau mahukan IPDAS supaya bersama-sama dengan kerajaan Sabah menerokai kerjasama dalam bidang inovasi pendidikan seiring dengan perkembangan pendidikan tanpa sempadan.

Hajiji berkata pelbagai inisiatif telah diusahakan oleh kerajaan negeri termasuk mewujudkan Sabah Creative Economy and innovation Centre (SCENIC).

“Ia merupakan satu peluang besar untuk IPDAS menerokai ilmu pendigitalan yang digabungkan dengan ilmu teras dalam melahirkan anak bangsa berketrampilan dan memenuhi keperluan hari ini,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa prihatin terhadap pembangunan pendidikan anak bangsa yang diterjemahkan melalui Inisiatif Modal Insan dan Kesejahteraan Rakyat sebagai satu daripada Hala Tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya.

Katanya, ia bagi mewujudkan rakyat sihat, berjati diri, berilmu pengetahuan, berinovasi serta berintegriti selaras dengan matlamat Gagasan Malaysia MADANI diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu membentuk sebuah negara maju, makmur, bertamadun tinggi, aman dan sentosa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here