KUALA LUMPUR, 20 Sept – Pengusaha tapak pelupusan sisa swasta digalakkan untuk merebut peluang memperoleh pulangan yang baik dengan menukar sisa buangan kepada tenaga boleh baharu (TBB), kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.

Katanya ia berdasarkan data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, yang menunjukkan bahawa rakyat Malaysia menjana lebih 40,000 tan metrik sisa setiap hari, yang boleh dijadikan TBB untuk dijual.

“Ini adalah misi nasional; kami bukan sahaja berbincang dan berunding dengan kerajaan negeri tetapi juga pihak berkuasa tempatan (PBT) dan sudah tentu rakan strategik daripada sektor swasta, kita mahu supya semua pihak menyertainya.

“Memang menjadi misi kita untuk menyelamatkan bumi dan pada masa yang sama, menukar sampah kepada sesuatu yang bernilai. Contohnya, loji menukarkan sisa kepada tenaga (WtE) boleh menjana pendapatan kira-kira RM25 juta setahun dengan menjual tenaga elektrik (yang dihasilkan daripada sisa),” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Loji Tenaga Boleh Baharu berkapasiti 12 Megawatt (MW) di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Bukit Tagar (BTEP), Hulu Selangor, dekat sini hari ini.

BTEP yang telah beroperasi sejak 2005 diuruskan oleh syarikat Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd (BEPSB) di atas tanah milik kerajaan berkeluasan 266.7 hektar ekar untuk tujuan pembinaan tapak pelupusan dan 404.7 hektar lagi sebagai zon pemampan di sekeliling tapak.

Nga berkata BTEP direka bentuk untuk melupuskan sisa pepejal sebanyak 2,500 tan sisa pepejal sehari dan mempunyai jangka hayat melebihi 40 tahun.

“Sehingga kini, BTEP telah berjaya mengurus dan melupuskan kira-kira 17 juta tan sisa pepejal dari Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

“BTEP berupaya menukarkan gas metana daripada sisa pepejal kepada TBB, dengan kira-kira 339 juta kilowatt-jam (kWj) tenaga elektrik disalurkan ke grid nasional dan memperoleh keuntungan tahunan sehingga RM25 juta,” katanya.

Beliau berkata perkembangan ini sekali gus menjadikan BTEP pengeluar TBB daripada gas tapak pelupusan terbesar dalam negara.

Katanya inisiatif BEPSB itu selaras dengan sasaran negara untuk mencapai penjanaan TBB sebanyak 40 peratus menjelang 2035, di mana sektor pelupusan sisa pepejal antara penyumbang kepada pencapaian tersebut melalui kaedah WtE.

“Penghasilan TBB dapat mengurangkan 2.7 juta tan karbon di bawah skim Mekanisme Pembangunan Bersih, bersamaan dengan 43.6 juta anak pokok yang ditanam dalam tempoh 10 tahun, pengurangan penggunaan 296 juta liter petrol dan pengurangan 570,000 buah kereta yang dipandu dalam tempoh setahun,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here