KUALA LUMPUR, 26 Sept – Pihak kerajaan dan badan pengawal selia perlu bertindak tangkas dalam melaksanakan dasar bagi mencapai transformasi digital yang dapat dikembangkan untuk menyokong matlamat sosial serta ekonomi.

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata ini termasuk memerlukan kalangan pengawal selia untuk menyumbang dari segi menggalakkan persekitaran terbuka serta pengupaya bagi pasaran digital dalam landskap digital yang sering berubah.

“Untuk terus kekal relevan dan berdaya saing, semua pihak perlu menerimaguna pendigitalan. Sehubungan itu, adalah penting bagi kita untuk bekerjasama dalam memaksimumkan potensi pendigitalan, memperkasa rakyat Malaysia serta bergerak ke arah masa depan yang sejahtera serta pengukuhan ekonomi,” katanya pada Sidang Kemuncak Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia anjuran Huawei Technologies (M) Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mohd Ali berkata setakat Ogos, 2023, liputan rangkaian 5G di kawasan berpenduduk Malaysia mencecah 68.8 peratus manakala purata kelajuan muat turun pula meletakkan negara ini dalam kelompok lima teratas dunia dan salah satu daripada tujuh negara dengan kelajuan terbabit melepasi 300 megabit sesaat (Mbps).

“Kita juga berada di landasan tepat bagi mencapai sasaran 80 peratus liputan 5G di kawasan berpenduduk menjelang akhir 2023 sebelum beralih daripada rangkaian borong tunggal kepada model dwirangkaian,” katanya.

Malah, beliau berkata Malaysia juga berupaya melaras semula dasar dengan objektif bagi mengembangkan ekonomi digital.

Pada masa sama, Mohd Ali optimis bahawa rangkaian 5G tersebut bakal merevolusi persekitaran yang menyaksikan negara-negara dan perniagaan beroperasi dan berperanan seiring dengan kemunculan model perniagaan baharu selain inovasi yang merentasi bidang tradisional.

“Kerajaan yakin 5G dapat menjadi pengupaya untuk mempercepat aspirasi Malaysia dalam ekonomi digital,” katanya.

Menyentuh tahap penerimagunaan 5G, beliau berkata aspek itu secara relatifnya masih rendah dengan kadar penembusan sebanyak 7.4 peratus atau kira-kira 2.49 juta langganan setakat Ogos 2023.

“Bagaimanapun, kita menyaksikan trend kadar pengambilan langganan 5G yang menggalakkan setiap bulan dan lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk merealisasikan potensi teknologi itu sepenuhnya,” kata beliau.

Sidang kemuncak dua hari yang bermula hari ini, bertujuan menggalakkan pembangunan inovasi dan prasarana ICT selain mendorong lebih banyak peluang pertumbuhan ekonomi digital mampan serta peningkatan perindustrian Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here