IPOH, 26 Sept – Rang Undang-Undang Sumber Air (RUUSA) Perak 2023 yang ditangguh  kelulusannya sebelum ini dibentang semula di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini. 

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang membentangkan rang undang-undang itu berkata ia bertujuan memansuhkan Akta Air 1920 dan mengadakan peruntukan baharu pengurusan bersepadu penggunaan, pembangunan dan perlindungan sumber air di Perak. 

“Ia juga bagi menubuhkan Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya,” katanya. 

Beliau berkata antara fungsi lembaga itu termasuk mengawal selia penggunaan sumber air negeri secara optimum khususnya dari aspek kualiti dan kuantiti serta menjaga kepentingan negeri dalam aspek pengurusan, pembangunan dan penggunaan sumber air. 

Katanya ia juga melibatkan pengeluaran lesen dengan syarat-syarat tertentu kepada mana-mana pihak untuk mengusahakan apa-apa perkara atau aktiviti berkaitan sumber air juga penguatkuasaan undang-undang atau peraturan berkaitan sumber air bagi menjamin kelestarian sumber air negeri.

Memperinci lanjut, Mohammad Nizar berkata di bawah RUUSA Perak 2023 memperuntukkan keperluan lesen untuk penggunaan sumber air bagi sebarang aktiviti termasuklah pengabstrakan  termasuk melencong, mengganggu atau menghalang aliran semula jadi air di bawah Fasal 51. 

“Selaras dengan tujuan utama penggubalan rang undang-undang ini untuk pengurusan bersepadu penggunaan dan perlindungan sumber air, kesalahan bagi aktiviti yang tidak berlesen ini boleh dikenakan denda mengikut jenis aktiviti tersebut iaitu, denda tidak melebihi RM300,000 bagi aktiviti penggunaan air dan denda tidak melebihi RM1 juta bagi aktiviti melepaskan atau melupuskan air sisa ke dalam sumber air,” tegasnya.

Selain itu katanya lembaga itu juga berfungsi menjana hasil baharu kepada kerajaan negeri melalui kutipan hasil penggunaan sumber air dan hasil kutipan akan digunakan semula bagi tujuan pemuliharaan dan pemeliharaan sungai-sungai atau sumber air di Negeri Perak selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat. 

Terdahulu RUU yang dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pada persidangan DUN, 19 Julai tahun lalu ditangguh bagi memberi laluan sebuah jawatankuasa bipartisan terdiri daripada wakil rakyat pembangkang dan kerajaan memperhalusi rang undang-undang berkenaan bagi penambahbaikan sebelum dibawa semula ke persidangan.

Sementara itu, Mohammad Nizar berkata jawatankuasa bipartisan itu telah bersidang sebanyak empat kali bagi membincang dan memperhalusi rang undang-undang berkenaan selain satu sesi libat urus bersama semua pihak berkepentingan.

“Isu-isu yang dibangkitkan semasa sesi libat urus tersebut adalah berkenaan kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang, kawalan pencemaran air, operasi badan kawal selia air, caj penggunaan air, janaan hasil digunakan semula untuk konservasi sumber air serta pemansuhan undang-undang terdahulu.

Hasil daripada penelitian Jawatankuasa Bipartisan dan dapatan sesi libat urus tersebut, terdapat tujuh fasal RUU Sumber Air telah dipinda, dikemas kini dan ditambah baik,” katanya.

Sebelum ini antara negeri lain yang telah meluluskan enakmen berkaitan pengurusan sumber air adalah Selangor pada tahun 1999, Kedah (2008) dan Terengganu pada 2020.

Ketiga-tiga negeri ini telah menubuhkan badan pengurusan sumber air negeri masing-masing iaitu Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) di Selangor, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) di Kedah dan Lembaga Sumber Air Terengganu di Terengganu.

Persidangan bersambung esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here