IPOH, 27 Sept – Sebanyak RM20 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja menaik taraf dan promosi sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak Loh Sze Yee berkata kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM7 juta iaitu RM3.8 juta untuk menaik taraf dan membaik pulih kawasan pelancongan di 12 daerah.

Beliau berkata sebanyak RM3.2 juta pula diperuntukkan khusus untuk kempen mempromosikan kawasan pelancongan sepanjang TMP 2024 dilaksanakan.

“Kerajaan negeri juga menerima peruntukan berjumlah RM9.09 juta secara berfasa daripada Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) membabitkan 35 projek bagi kerja-kerja pemulihan, pemuliharaan, ubah suai dan naik taraf kawasan pelancongan.

“MOTAC juga memberi peruntukan tambahan RM1 juta untuk tujuan promosi,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Loh berkata antara kerja-kerja baik pulih dan naik taraf yang dilaksanakan adalah di Tapak Warisan Dunia Lembah Lenggong, Jambatan Victoria, kawasan ekopelancongan binaan zaman kolonial British di Selama serta menaik taraf Bandar Warisan di Gerik.

Pada Mei lalu, Loh dilaporkan berkata TMP 2024 dijangka mampu membawa pulangan lebih RM10 bilion dengan sasaran kemasukan 8.35 juta pelancong domestik dan antarabangsa.

Loh berkata penekanan lebih akan diberikan kepada pembangunan produk dan pakej pelancongan baharu sebagai penyumbang utama sasaran antaranya Tasik Cermin, Silverlake Village Outlet, Galeri Rumah Lat, Qi Xi Ling Cultural Village, Maze Garden, Escape@Ipoh dan Geopark Lenggong.

Dalam perkembangan lain, Loh berkata Fiesta Warisan Budaya @ Sungai Siput akan diadakan di Laman Rekreasi Kampung Bahagia di Sungai Siput pada 8 Okt depan.

Beliau berkata pelbagai aktiviti disediakan seperti sukan rakyat atau permainan tradisional, Klinik Seni Budaya, pertandingan buskers alunan tradisi serta jualan produk usahawan industri kecil dan sederhana.

Menurutnya sebanyak 3,00 pengunjung disasarkan hadir ke fiesta tersebut yang akan berlangsung sehari bermula pukul 8 pagi hingga 11 malam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here