KUALA TERENGGANU, 4 Okt – Rakyat Terengganu boleh memainkan peranan sebagai pengkritik bagi menggerakkan sistem semak dan imbang walaupun dewan legislatif negeri itu tidak mempunyai pembangkang.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ketiadaan wakil pembangkang dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak menjadi isu besar kerana pada zaman serba baharu dan canggih, semua rakyat mampu memberi pandangan, ulasan dan kritikan menerusi pelbagai medium baharu terutama media sosial.

Walau bagaimanapun beliau berkata semua pihak termasuk wakil rakyat dan anggota pentadbiran perlu berlapang dada menerima teguran walaupun adakalanya kritikan tersebut jauh tersasar daripada fakta sebenar.

“Elemen semak dan imbang di alaf baharu ini tentunya tidak sama dengan zaman lampau, apabila rakyat kini boleh memberi cadangan, ulasan dan kritikan menerusi medium baharu yang wujud siang dan malam, 24 jam sehari.

“Apa yang penting dalam menilai semak dan imbang ini, semua ahli yang berhormat hendaklah bersifat berlapang dada dengan teguran. Dalam bahasa anak muda zaman sekarang disebut jangan cepat ‘koyak’,” katanya dalam ucapan penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini, hari ini.

Selain itu Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata walaupun tanpa kehadiran pembangkang, sistem semak dan imbang juga sudah lama wujud menerusi undang-undang, iaitu pengasingan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Bagaimanapun menurut beliau sebagai wakil rakyat atau pemimpin yang diberi amanah oleh rakyat, sistem semak dan imbang paling berkesan adalah berpegang teguh kepada prinsip keadilan dan ajaran Islam.

“Paling penting ialah semua peringkat kepimpinan daripada bawah hingga ke Menteri Besar hendaklah melaksanakan tugas dengan adil tanpa mengira fahaman politik rakyat,” katanya.

Pada perasmian pembukaan persidangan DUN Ahad lalu, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah supaya kerajaan negeri mencari kaedah dan model terbaik bagi sistem kerajaan tanpa pembangkang demi kepentingan rakyat jelata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here