JAKARTA, 12 Okt – Jakarta bakal menambah bilangan bas elektrik secara berperingkat bagi mengurangkan pencemaran udara, selain terus menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Rancangan untuk menggantikan bas konvensional dengan bas elektrik akan dilaksanakan bagi meminimumkan pencemaran udara,” kata Pemangku Gabenor Jakarta Heru Budi Hartono dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pada masa ini, bas rapid transit TransJakarta telah mengendalikan sekurang-kurangnya 52 bas elektrik.

Langkah lain yang turut dilaksanakan bagi menangani kesesakan lalu lintas, seperti melaraskan semula masa kitaran lampu isyarat untuk mengurangkan masa menunggu, menguruskan tempat letak kenderaan, serta mengutamakan pengguna pejalan kaki dan basikal.

Hartono berkata pihaknya terus berkoordinasi dengan kerajaan pusat dan pihak berkepentingan berkaitan untuk mengintegrasikan mod pengangkutan awam di Jakarta bagi menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

Jakarta memperuntukkan subsidi bernilai Rp4.3 trilion (US$273 juta) setahun untuk pengangkutan awam, sebanyak Rp3.5 trilion untuk TransJakarta dan Rp800 bilion bagi Mass Rapid Transit (MRT).

Hartono berkata kemudahan pengangkutan awam menjadi keutamaan utama dalam membina sistem pengangkutan bersepadu, sehubungan itu Jakarta bersinergi dengan kerajaan pusat untuk memberikan subsidi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here