PARIS, 24 Okt – Kumpulan Media China (CMG) dan Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris melancarkan kerjasama strategik menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) di sini, pada Isnin.

MoU yang ditandatangani oleh Presiden CMG Shen Haixiong dan Presiden Jawatankuasa Penganjur Olimpik Paris Tony Estanguet merangkumi konsensus untuk memperkasa kerjasama melibatkan promosi Sukan Olimpik Paris, penerbitan program khas dan sebagainya.

Pada masa yang sama, Menteri Kebudayaan Perancis Rima Abdul Malak turut bertemu dengan rombongan CMG diketuai Shen di Muzium Louvre.

Rima Abdul Malak mengucapkan tahniah atas jalinan kerjasama berkenaan dan berharap pihaknya dapat memperkukuh kerjasama dengan CMG menerusi program filem dan televisyen, kebudayaan tradisional dan karya seni digital.

Tahun hadapan merupakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Perancis-China, sekali gus menyaksikan berlangsungnya Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Shen berkata sebagai agensi penyiar utama Sukan Olimpik Paris, CMG akan mengerah tenaga kerja yang terdiri daripada lebih 2,000 orang bagi menjayakan penyiaran temasya berkenaan.

Kumpulan itu ditugaskan membuat “isyarat awam antarabangsa” untuk empat acara iaitu gimnastik, ping pong, badminton dan sukan memanjat dinding (wall climbing).

Teknologi 5G+4K/8K+AI turut digunakan bagi menyediakan perkhidmatan audio visual bertaraf dunia kepada para penonton.

CMG juga akan melancarkan siri aktiviti media di Beijing dan Paris pada tahun ini bagi menyuntik pertukaran sosiobudaya antara China dengan Perancis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here