MOSCOW, 25 Okt – China dan Amerika Syarikat (AS) ialah dua negara utama dan cara mereka berurusan antara satu sama lain pada masa depan adalah penting untuk dunia, kata Presiden China Xi Jinping, lapor Sputnik.

“Sebagai dua negara utama di dunia, China dan Amerika Syarikat boleh mencari jalan terbaik untuk memahami antara satu sama lain demi keamanan dan pembangunan dunia, serta masa depan umat manusia,” kata Xi dalam perutusan kepada tetamu di majlis makan malam gala tahunan anjuran Jawatankuasa Kebangsaan Hubungan AS-China.

Perutusan itu dibacakan oleh duta China ke AS, Xie Feng pada Selasa.

Beliau berkata China bersedia memajukan hubungan yang saling menguntungkan dengan AS berdasarkan prinsip saling menghormati, sambil menyelesaikan isu dua hala dengan cara yang bersesuaian dan bersama-sama berusaha menangani cabaran global.

Pada Isnin, Jabatan Negara AS memaklumkan bahawa Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan menjadi tuan rumah bagi lawatan Menteri Luar China Wang Yi ke Washington dari 26 hingga 28 Okt untuk berbincang mengenai pelbagai isu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here