LONDON, 29 Okt – Halal Development Corporation Bhd (HDC) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mengetuai usaha untuk memudahkan keseluruhan proses pensijilan halal dengan memperkemas proses permohonan.

Pada Persidangan Perniagaan Halal Sedunia 2023 (WHBC 2023) di sini hari ini, HDC dan Digital Panacea Sdn Bhd (DPSB) mencapai pencapaian penting apabila mereka bertukar-tukar dokumen, menandakan pelancaran Platform Digital Halal Negara (NHDP).

NHDP telah dibangunkan oleh kedua-dua syarikat untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan penambahbaikan kepada proses pensijilan Halal Malaysia khususnya dalam peringkat pra kelulusan dan pasca kelulusan.

Pada majlis itu, HDC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Hairol Ariffein Sahari dan DPSB pula diwakili oleh Pengarah Urusannya Syed Mohammad Hafiz Jamalullail dengan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai saksi utama.

Pengerusi HDC Khairul Azwan Harun dalam satu kenyataan berkata NHDP menyasarkan untuk merevolusikan proses permohonan halal, menawarkan platform digital komprehensif yang memastikan pemprosesan yang cekap dan lancar.

“JAKIM kekal sebagai pihak berkuasa yang memberi kelulusan, NHDP akan memantau dan menguruskan keseluruhan perjalanan permohonan daripada peringkat pra kelulusan kepada pasca kelulusan.

“Dengan menggabungkan teknologi dan ciri inovatif, NHDP akan menyediakan pemohon dengan alat untuk pematuhan peraturan dan jaminan halal termasuk ciri kebolehkesanan,” katanya

Menurut kenyataan itu, HDC telah diberi mandat oleh Majlis Pembangunan Industri Halal, sebuah majlis kebangsaan untuk menasihati kerajaan Malaysia dalam hal industri halal untuk penambahbaikan peringkat pra kelulusan dan pasca kelulusan proses pensijilan Halal Malaysia.

JAKIM pula akan menumpukan pada penambahbaikan peringkat kelulusan ke arah mengurangkan masa pemprosesan kepada hanya 30 hari bekerja dan selepas diluluskan, NHDP akan menjadikan pensijilan halal mudah diakses kepada pengguna.

HDC berkata ia juga sedang berusaha untuk menggabungkan sistem i-Mesra yang akan menjadi alat bagi pengendali makanan dan minuman (F&B) untuk memulakan dan membimbing perjalanan mereka ke arah pensijilan halal.

Sistem i-MESRA akan menjadi sistem pengesahan rujukan menyeluruh bagi pengendali F&B dan pengguna bagi memastikan makanan yang dihidangkan dan dijual menggunakan bahan yang disahkan halal, kata HDC.

“Platform Digital Halal Kebangsaan adalah pencetus perubahan untuk industri halal.

“Kami bukan sahaja mengoptimumkan dan memudahkan proses pensijilan halal yang memanfaatkan teknologi baharu tetapi kami juga membuka lebih banyak peluang untuk syarikat pemula niaga teknologi, penyedia perkhidmatan dan pakar industri untuk bekerjasama dengan HDC melalui NHDP untuk meningkatkan ekonomi halal Malaysia,” kata Hairol Ariffein.

WHBC 2023 adalah platform untuk Malaysia mempromosikan akses pasaran dan pengantarabangsaan dengan memupuk kerjasama dan perkongsian dengan negara lain.

Inisiatif ini mewujudkan peluang perdagangan dan pelaburan rentas sempadan untuk perniagaan Malaysia dalam pasaran halal global.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here