KUALA LUMPUR, 30 Okt – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) merancang untuk meneruskan Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi (LISF) sebagai acara tahunan berikutan impak positif daripada penganjuran sulungnya pada Mei lepas, kata Timbalan Menteri berkenaan Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata menerusi forum yang diadakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23), sebanyak empat memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai dan tiga pertukaran surat niat dengan tiga syarikat tempatan berjaya dilaksanakan.

“Projek itu telah dan sedang digerakkan oleh setiap pasukan projek mengikut Carta Perbatuan yang ditetapkan dan dipantau oleh sebuah jawatankuasa di bawah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) iaitu Jawatankuasa Khas Kerjasama Strategik dan Jaringan Antarabangsa.

“Sekiranya semua potensi itu dapat direalisasikan, kita menganggarkan sumbangan kepada ekonomi sebanyak RM44 juta ringgit hanya daripada empat MoU dan tiga surat niat yang ditandatangani pada tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang ingin tahu sekiranya MOSTI berhasrat meneruskan anjuran LISF sebagai satu acara tahunan bagi memastikan industri angkasa negara terus maju.

Sementara itu, Arthur berkata sehingga kini, sebanyak 10 syarikat teknologi angkasa tempatan telah bergabung membentuk Malaysian Space Industry Corporation (MASIC) bagi mewujudkan ekosistem industri angkasa dinamik sekali gus mempromosikan keupayaan angkasa Malaysia.

Beliau berkata MASIC ditubuhkan oleh Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) bagi menghimpunkan pemain industri angkasa tempatan ke arah membangunkan industri angkasa negara.

“Selain itu, MYSA dengan kerjasama MIGHT juga telah memulakan perbincangan mengenai kerjasama dua hala Malaysia dan Turkiye dalam teknologi angkasa. Kerjasama ini akan menumpukan aspek perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat bagi melahirkan tenaga mahir tempatan dalam teknologi pembuatan satelit,” katanya.

Beliau menjawab soalan asal Jimmy yang bertanyakan usaha MOSTI untuk meluaskan penggunaan perkhidmatan Internet melalui Starlink dengan melancarkan satelit milik negara supaya negara tidak perlu bergantung kepada pihak lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here