PUTRAJAYA, 6 Nov – Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir akan memulakan lawatan kerja ke New Delhi, India, dari 6 hingga 7 Nov.

Semasa lawatan itu, Zambry dijadual mempengerusikan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (MSB) secara bersama dengan rakan sejawatnya di India, Dr S. Jaishankar dan kedua-dua menteri akan membincangkan kerjasama sedia ada dan potensi kerjasama masa depan di samping bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

“Mesyuarat yang dijadual pada 7 Nov ini adalah mesyuarat kali keenam dalam siri MSB antara Malaysia dan India. Kali terakhir MSB diadakan adalah pada 2011 di Kuala Lumpur,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra).

Kenyataan itu memaklumkan kerjasama ekonomi, pertahanan, tenaga, kesalinghubungan, kesihatan, pendidikan, pelancongan dan penyiaran adalah sektor kerjasama yang akan dibincangkan.

Kedua-dua menteri juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa dokumen penting, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) berkenaan Kerjasama dalam Bidang Penyiaran antara Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Prasar Bharti India, Pertukaran Nota antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR) dan Institut Hubungan Luar Sushma Swaraj (SSIFS) mengenai Kerjasama dalam Bidang Latihan Diplomat.

Di samping itu, Surat Niat antara Pusat Serantau Asia Tenggara Bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT) dan Institut Kajian dan Analisis Pertahanan Manohar Parrikar (MP-IDSA) berkaitan Kerjasama dalam Bidang Penyelidikan Akademik juga akan ditandatangani.

Zambry juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Presiden India, Jagdeep Dhankhar, dan kedua-dua pihak akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa, termasuk krisis kemanusiaan di Gaza.

Jalinan persahabatan yang erat antara Malaysia dan India adalah bertunjangkan kerjasama ekonomi yang teguh dan hubungan antara rakyat yang kukuh.

Pada tahun 2022, India merupakan rakan dagangan ke-11 terbesar Malaysia dengan jumlah dagangan bernilai RM86.22 bilion (US$19.63 bilion), peningkatan sebanyak 23.6 peratus berbanding nilai yang dicatatkan pada 2021.

Lawatan ini dijangka memperkukuhkan lagi hubungan dua hala yang dinikmati kedua-dua buah negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here