KUALA LUMPUR, 7 Nov – Kerajaan berpendirian penggunaan Akta Hasutan serta Akta Komunikasi dan Multimedia mencukupi bagi menangani sebarang isu agama, raja dan kaum (3R) setakat ini dan tiada keperluan untuk menggubal atau memperkenalkan suatu undang-undang baharu.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata memadai dengan meningkatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada kerana terdapat seksyen khusus di bawah kedua-dua akta itu yang menyentuh tentang tindakan perundangan untuk menangani perkara tersebut.

Beliau berkata ia melibatkan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) serta  Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 (Akta 15).

“Bagaimanapun, kalau keadaan mendesak dan kerajaan memikirkan bahawa undang-undang sedia ada perlu dibuat semakan semula untuk pindaan bagi mengekang elemen permusuhan antara kaum dan agama, maka kementerian akan menyokong penuh hasrat tersebut,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Aminolhudin Hassan (PH-Sri Gading) sama ada Akta Hasutan dan Akta Komunikasi mencukupi untuk menghadapi isu 3R.

Kerajaan terdahulu pada 2019, melalui Jawatankuasa Kerja Perundangan dan Dasar-dasar Mempromosikan Keharmonian Negara telah mengangkat Rang Undang-Undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama serta Rang Undang-Undang Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional, namun telah ditolak, katanya.

Kedua-dua Rang Undang-Undang itu, kata beliau ditolak kerana semua kesalahan dalam rang undang-undang berkenaan terkandung dalam Kanun Keseksaan, manakala dalam Rang Undang-Undang Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional turut tersenarai dalam Perkara 8 dalam Perlembangan Persekutuan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here