SHANGHAI, 7 Nov – Presiden China Xi Jinping menzahirkan harapan Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) dapat meningkatkan fungsinya sebagai “jendela” bagi dunia luar mengenali pembinaan Paradigma Pembangunan Baharu.

Beliau juga berharap CIIE dapat memainkan peranan sebagai platform bagi mendorong peningkatan tahap keterbukaan dan menawarkan perkhidmatan produk awam antarabangsa yang boleh dikongsi seluruh dunia.

“Ini bermakna CIIE sudah diberi visi dan misi yang lebih holistik dan dipercayai kondusif bagi China dan rakan kongsinya memacu kemaraan searah untuk mewujudkan situasi sama untung,” kata Presiden Xi dalam perutusan tahniah sempena CIIE kali keenam yang dirasmikan di Shanghai pada Ahad.

Beliau berkata pembangunan China pada fasa baharu akan menyediakan peluang baharu kepada dunia.

Lima edisi CIIE yang diadakan sejak 2018 telah berlangsung dengan jayanya, menyaksikan pemeteraian kontrak perdagangan yang bernilai kira-kira US$350 bilion (RM1.63 trilion), manakala barang pameran dipasarkan menjadi komoditi dan pempamer berubah menjadi pelabur mencerminkan konglomerat multinasional mendapat ruang yang luas untuk berkembang. 

Sebanyak 442 produk, teknologi dan perkhidmatan baharu yang bakal menjadi tarikan utama bagi kumpulan pembeli domestik akan membuat debut pada CIIE edisi 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura Kok Ping Soon berkata pihaknya amat gembira melihat China konsisten meningkatkan tahap keterbukaan pasaran dan langkah ini amat penting dalam senario ekonomi global semasa.

Dalam Forum Ketiga Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) untuk Kerjasama Antarabangsa yang berjaya diadakan di Beijing baru-baru ini, China mengemukakan lapan langkah untuk menyokong kerjasama berkualiti tinggi dalam kerangka BRI, termasuk menyokong pembinaan ekonomi dunia yang terbuka.

Dilaporkan, terdapat 64 dari 72 negara pempamer CIIE tahun ini yang mempunyai kaitan dengan pembinaan bersama BRI, manakala lebih 1,500 daripada 3,400 syarikat pempamer mempunyai hubungan dengan BRI.

Pembangunan “Projek Pilot Kerjasama Jalan Sutera E-dagang” di Shanghai yang diumumkan China pada CIIE tahun ini akan membawa sinar harapan kepada rakyat di banyak negara.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, jumlah import dan eksport perdagangan barangan dan perkhidmatan China dijangka masing-masing melebihi US$32 trilion (RM149 trilion) dan US$5 trilion (RM23.34 trilion).

Sebagai pameran peringkat kebangsaan yang bertemakan import pertama di dunia, CIIE dipercayai akan terus menjadi platform berkongsi dividen sepanjang pelaksanaan dasar terbuka dan memudahkan syarikat asing untuk menembusi pasaran China.

Sementara itu, pasaran gergasi China juga akan menjadi pasaran yang dikongsi bersama seluruh dunia untuk memacu kemaraan searah untuk manfaat bersama. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here