PUTRAJAYA, 9 Nov – Jawatankuasa Peringkat Tinggi Kawalan Keganasan (JPTKK) yang bermesyuarat hari ini membincangkan kepentingan langkah pembendungan agar rakyat Malaysia bebas dari sebarang pengaruh pemikiran yang menjurus kepada keganasan yang boleh mengancam dan merosakkan reputasi negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mempengerusikan mesyuarat itu hari ini berkata beliau telah membangkitkan mengenai langkah pembendungan terhadap aktiviti yang menjurus kepada keganasan dalam kalangan masyarakat.

Beliau berkata langkah pembendungan itu merangkumi aktiviti pemantauan berterusan terhadap teknologi komunikasi seperti media sosial dan gaming yang turut berpotensi dijadikan sebagai medium untuk menyebarkan propaganda keganasan.

“Keadaan geopolitik terkini dilihat mampu mempengaruhi perluasan aktiviti-aktiviti kegiatan keganasan dan berpotensi untuk mengeksploitasi isu-isu semasa yang sensitif terutamanya terhadap umat Islam,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat JPTKK itu.

Di peringkat domestik, Ahmad Zahid berkata ancaman keganasan ditangani melalui tindakan melawan radikalisme bagi mengekang aktiviti penyebaran fahaman dan ideologi khususnya dalam talian serta program-program pembinaan masyarakat sebagai langkah pencegahan.

Pelaksanaan program-program kesedaran turut dilaksanakan berdasarkan tiga teras iaitu patriotisme, keagamaan dan langkah pencegahan melalui siaran program di televisyen, penerbitan, siaran radio, media sosial dan ceramah kesedaran, katanya.

Ahmad Zahid berkata pada masa ini, trend dan perkembangan semasa isu dan ancaman keganasan di Malaysia dan luar negara dapat memberi implikasi langsung ke atas keselamatan negara.

Ancaman utama di peringkat global meskipun dilihat menurun sejak 2020, namun masih terdapat dua kumpulan utama yang kekal menjadi ancaman pengganas utama global iaitu Al-Qaeda dan DAESH, dengan usaha berterusan melalui operasi counter terrorism masih belum berjaya menangkis ancaman tersebut sepenuhnya, katanya.

Beliau berkata kerajaan turut memantau situasi terkini dan melakukan pengemaskinian makluman individu dan entiti yang tersenarai oleh negara-negara anggota melalui platform Jawatankuasa 1267 yang ditubuhkan di bawah Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Ahmad Zahid berkata mesyuarat turut membincangkan perkembangan keadaan di Gaza dan perkara yang berkaitan sokongan terhadap rakyat Palestin di dalam negara bagi memastikan ketenteraman dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here