SEREMBAN, 9 Nov – Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini membenarkan permohonan calon Barisan Nasional (BN) Tan Sri M. Ramasamy menarik balik petisyen pilihan raya kerusi Parlimen Segamat yang difailkannya sebelum ini bagi mencabar kemenangan calon Pakatan Harapan R. Yuneswaran di Parlimen Segamat.

Hakim Datin Rohani Ismail membuat keputusan itu setelah mendengar hujahan daripada peguam Ramasamy, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang memberitahu mahkamah bahawa kesemua responden bersetuju untuk tidak meneruskan petisyen itu.

Responden yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Ahli Parlimen Segamat Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rohani turut berpuas hati selepas kesemua pihak iaitu peguam Lau Yi Leong mewakili Yuneswaran dan Peguam Kanan Persekutuan Nur Irmawatie Daud dan Noridayu Md Kassim yang mewakili pegawai pengurus pilihan raya dan SPR bersetuju dengan hujahan Muhammad Shafee.

“Jadi semua pihak telah bersetuju, mahkamah dengan ini membenarkan sepertimana petisyen pilihan raya dibatalkan dan tiada perintah untuk kos,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan pada November tahun lepas, Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi dan diisytiharkan sebagai Ahli Parlimen yang dipilih bagi kawasan itu mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional (PN) dan Syed Hairoul Faizey calon Pejuang.

Ramasamy, yang juga Bendahari MIC, bertanding sebagai calon BN.

Dalam petisyennya, Ramasamy antara lain memohon pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai Ahli Parlimen.

Hakim Mahkamah Pilihan Raya Mohd Radzi Abdul Hamid menolak petisyen pilihan raya Ramasamy selepas menerima bantahan awal yang dikemukakan responden (Yuneswaran, pegawai pengurus pilihan raya dan SPR) bahawa petisyennya (Ramasamy) cacat kerana gagal mematuhi kehendak Akta Kesalahan Pilihan Raya dan Peraturan Petisyen Pilihan Raya.

Muhammad Shafee yang ditemui pemberita selepas itu berkata keputusan itu dibuat berikutan kedua-dua pihak berada dalam satu kerajaan yang sama.

“Hari ini penarikan balik petisyen difailkan Ramasamy, seperti yang difahami petisyen ini pada permulaannya di Mahkamah Pilihan Raya. Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan telah bersetuju bahawa petisyen ini dijalankan sepenuhnya secara perbicaraan.

“Namun,kedua-dua pihak kini dalam satu kumpulan kerajaan yang bersatu, jadi ia menjadi sukar kerana kalau menang ke kalah ke.. katakanlah kalau Tan Sri (Ramasamy) menang, siapa nak jadi calon pula (kalau diadakan pilihan raya semula). Jadi kita buat keputusan untuk tidak teruskan,” katanya.

Dalam pada itu, Ramasamy berkata tiada keperluan untuk bergaduh kerana kedua-duanya kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tak guna gaduh, sebab itu saya tarik balik, saya bersedia bekerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Sementara itu, Yi Leong berkata berdasarkan keputusan mahkamah pada hari ini, kes berkenaan tidak diteruskan sekali gus kedudukan Yuneswaran sebagai ahli Parlimen Segamat tidak diganggu dan kekal.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here