PUTRAJAYA, 9 Nov – Isu keselamatan makanan yang kini menjadi keutamaan di dalam negara, boleh ditangani dengan mempercepatkan pertumbuhan bioteknologi khususnya dalam bidang agrobioteknologi, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.

Beliau berkata Malaysia tidak terkecuali berdepan ancaman peningkatan isu ketidakcukupan makanan, sebagaimana menurut Indeks Kelaparan Global 2022,bahawa skor Malaysia menunjukkan sedikit peningkatan daripada 10.9 pada 2014 kepada 12.5 pada 2022,

Peningkatan itu menurut beliau mungkin berpunca daripada penularan wabak COVID-19.

Mengulas lanjut, Chang berkata pada tahun lepas, terdapat kekurangan ayam di negara ini berikutan peningkatan perbelanjaan pengeluaran, wabak penyakit dalam populasi ayam dan keadaan cuaca yang tidak baik dan baru-baru ini, negara berdepan satu lagi cabaran keselamatan makanan mengenai kekurangan beras putih.

Bercakap pada Simposium Bioteknologi Kebangsaan 2023 di sini hari ini, Chang berkata isu itu boleh ditangani dengan mempercepatkan pertumbuhan bioteknologi, khususnya dalam agrobioteknologi, dengan peningkatan kerjasama daripada pelbagai agensi kerajaan dan sektor swasta.

“Penduduk global yang semakin bertambah dan tekanan yang semakin meningkat terhadap pertanian akibat perubahan iklim dan keterbatasan sumber, telah meninkatkan kebimbangan dalam isu keselamatan makanan.

“Kebimbangan ini telah mendorong permintaan besar untuk bioteknologi untuk menyediakan penyelesaian inovatif, meningkatkan hasil tanaman, meningkatkan daya tahan tanaman, mengurangkan pascatuai, meningkatkan kualiti tanah dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata teknologi moden boleh menyediakan cara baharu untuk meningkatkan pengeluaran tanaman, menjadikan tanaman lebih berdaya tahan, dan mengurangkan kerugian selepas penuaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here