BUKIT MERTAJAM, 10 Nov – Kerajaan Negeri Pulau Pinang menyediakan insentif sebanyak RM240,000 kepada 348 pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) peringkat negeri 2022 sebagai pengiktirafan atas kejayaan mereka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri berbesar hati memberikan insentif kewangan kepada semua pelajar cemerlang STPM dan SPM Pulau Pinang sebagai pemangkin semangat pelajar untuk lebih mampan dan berdaya saing.

“Inisiatif dan penghargaan ini merupakan pengiktirafan kecil Kerajaan Negeri atas pencapaian cemerlang para pelajar negeri ini yang telah berusaha dengan gigih dan tekun dalam mengecapi kejayaan serta berjaya mengharumkan nama negeri.

“Pemberian insentif ini dibayar melalui kaedah insentif secara elektronik (EFT) dan kerajaan negeri turut memberikan insentif penghargaan RM7,500 kepada Anugerah Pelajar Terbaik Istimewa (khas),” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Cemerlang STPM dan SPM Pulau Pinang 2022, di sini hari ini.

Pada majlis itu 73 Pelajar cemerlang STPM menerima RM1,000 manakala selebihnya pelajar cemerlang SPM pula RM500, dan kesemua mereka turut menerima sijil penghargaan.

Majlis diadakan di Dewan Besar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di sini, dan ia turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri I Datuk Mohamad Abdul Hamid.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here