JERTIH, 20 Nov – Sektor pertanian khususnya tanaman padi di Terengganu dijangka tidak akan terjejas dengan banjir yang mula melanda hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Dr Azman Ibrahim berkata hal itu kerana sebahagian besar tanaman padi di negeri itu sudah dituai hasilnya.

“Syukur sekarang musim menuai sedang rancak dengan sebahagian besar padi telah dituai dan mungkin yang terlewat tidak banyak.

“Sektor penternakan ikan juga diharapkan tidak terjejas kerana pengusaha telah melakukan penternakan terancang dengan memastikan hasil dapat dituai pada November sebelum berlaku banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis Sejahtera, di Jabi di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sementara itu, Wan Sukairi berkata projek RMM Tempinis Sejahtera yang melibatkan 100 unit rumah teres itu, merupakan projek menggunakan konsep perumahan patuh syariah atau dinamakan Rumah Darul Iman (RAHMAN) yang pertama berjaya disiapkan di Terengganu.

“Penerima terpilih hanya perlu membayar RM80,000 bagi rumah ini berbanding harga sebenar mencecah RM140,000 sebuah,” katanya .

Beliau berkata antara ciri rumah patuh syariah di RMM Tempinis Sejahtera itu adalah reka bentuknya melindungi aurat dan menjaga keharmonian penghuni serta bilik air yang sesuai untuk berwuduk dan bersuci.

“Rumah ini juga menerapkan elemen memuliakan kedatangan tetamu apabila reka bentuk saiz pintu yang lebar dan tingkap hadapan yang labuh bagi mewujudkan imej ‘selamat datang’,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here