KUALA LUMPUR, 22 Nov – Malaysia telah menguatkuasakan sebanyak 16 Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dan 62 Perjanjian Penggalakan dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala (IGA/BIT) setakat ini, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata pada masa ini Malaysia sedang merundingkan FTA baharu seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) iaitu perjanjian perkongsian ekonomi antara Malaysia dengan negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) merangkumi Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein yang sedang dirundingkan sejak 2014.

“Selain itu adalah Perjanjian Perdagangan Bebas Asean-Kanada (ACaFTA) iaitu rundingan perdagangan bebas antara Kanada dan negara Asean termasuk Malaysia yang telah mula dirundingkan sejak 2021,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini. 

Bagaimanapun, Tengku Zafrul berkata dua rundingan FTA masih lagi tergantung iaitu rundingan Malaysia dengan negara Kesatuan Eropah (EU) yang telah ditangguhkan sejak 2012 dan Korea yang telah ditangguhkan sejak 2019.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Chen (PH-Subang) berhubung status rundingan semua FTA dan IGA serta proses perundingan, mekanisme dan jangka masa perundingan untuk perjanjian itu.

Bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU (MEUFTA), Tengku Zafrul berkata Malaysia sedang melaksanakan ‘scoping exercise’ dengan EU untuk menentukan jurang kedudukan dan pendirian kedua-dua negara dan seterusnya memberi hala tuju agar mana-mana rundingan yang dilaksanakan benar-benar mengambil kira kos dan manfaat kepada negara.

“Malaysia juga masih bersikap terbuka mengadakan perjanjian perdagangan bebas dengan Korea dan sedang mengkaji hala tuju rundingan dengan mengambil kira faedah kepada negara,” katanya. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, Malaysia sedang merundingkan IGA baharu dengan Qatar menerusi rundingan yang dimulakan tahun lepas.

Secara umumnya, Malaysia mengambil perdekatan terbuka kepada mana-mana peluang rundingan FTA dan IGA dengan negara rakan dagang, katanya sambil memaklumkan sebarang rundingan harus mengambil kira kos dan manfaat kepada negara secara menyeluruh dan faedah kepada negara untuk jangka panjang.

“Antara tindakan yang diambil sebelum memulakan mana-mana rundingan FTA dan IGA baharu adalah melaksanakan kajian seperti analisis kos faedah yang komprehensif kepada mana-mana cadangan rundingan baharu.

“Selain itu, jangka masa rundingan adalah tertakluk kepada persetujuan dan kesanggupan antara Malaysia dan rakan perundingannya untuk mencapai kata sepakat dalam menghasilkan satu perjanjian yang mengambil kira kepentingan dan faedah kepada semua pihakterlibat,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here