PUTRAJAYA, 24 Nov – Pemenang program Rural Business Challenge (RBC) 2.0 anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bakal menerima hadiah berupa geran perniagaan berjumlah keseluruhan sebanyak RM15 juta.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang yang mengumumkan perkara itu ketika melancarkan pertandingan RBC 2.0 bersempena dengan Karnival Usahawan Desa (KUD) di Anjung Floria di sini hari ini, berkata KKDW menyasarkan lebih 2,500 permohonan penyertaan bagi pertandingan berkenaan. 

Beliau berkata permohonan untuk menyertai RBC 2.0 dibuka bermula hari ini hingga 31 Januari tahun depan melalui laman sesawang RBC 2.0 (https://rbc2u.com).

“Permohonan akan melalui beberapa proses tapisan dan penilaian sama ada secara dalam talian dan fizikal,” katanya dan menambah RBC anjuran KKDW itu bertujuan menggalakkan golongan belia luar bandar memilih keusahawanan sebagai kerjaya.

Rubiah berkata penganjuran pertandingan berkenaan pada tahun ini diberi nafas baharu dengan beberapa penambahbaikan sejak diperkenalkan pada 2012, khususnya untuk program keusahawanan belia. 

“Bagaimanapun, ia masih mengekalkan konsep asalnya iaitu sebuah program pengembangan perniagaan melalui penganjuran pertandingan penyediaan rancangan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata antara penambahbaikan ialah pementoran dan pemantauan pemenang RBC 2.0 oleh usahawan yang berpengalaman, penyertaan dan penilaian RBC 2.0 secara dalam talian.

Rubiah berkata para pemenang disyaratkan supaya melaksanakan perniagaan seperti yang dicadangkan dalam rancangan perniagaan (RP) berdasarkan jumlah geran perniagaan yang dimenangi.

Bagi memilih RP terbaik yang menepati objektif dan kriteria yang ditetapkan, kesemua RP dinilai secara komprehensif melalui lima peringkat penilaian oleh panel penilai terdiri daripada pegawai KKDW dan agensi, kementerian lain, jabatan teknikal, bank, pakar industri serta pihak yang dilantik mengikut kesesuaian tahap penilaian.

Terdahulu, Rubiah menyampaikan sijil graduasi kepada usahawan luar bandar yang menyertai Kelab Usahawan 1 Juta (KU1J), satu daripada aktiviti sokongan di bawah program RBC, dan berjaya mencapai jumlah nilai jualan melebihi RM1 juta.

— LAGI

RUBIAH-GERAN 3 (AKHIR) PUTRAJAYA

Program KU1J merupakan program bimbingan (coaching) dan pementoran (mentoring) usahawan luar bandar bersama pakar pembimbing perniagaan bagi mencapai jumlah nilai jualan tahunan RM1 juta yang pertama.

“Program ini telah mencatatkan hasil jualan tahunan melebihi RM38 juta berdasarkan rekod keseluruhan 25 peserta, iaitu peningkatan sebanyak 73 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu RM22 juta, dengan purata jualan sebanyak RM1.5 juta bagi setiap usahawan,” katanya. 

Program Karnival Usahawan Desa (KUD) yang diadakan selama tiga hari bermula hari ini di Anjung Floria  di sini turut dimeriahkan dengan pameran dan jualan oleh pemenang-pemenang RBC yang terdahulu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here