KUALA LUMPUR, 25 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memberikan lesen khas kepada pemborong di negeri terlibat banjir untuk menambah stok simpanan barangan keperluan asas.

Timbalan Menteri berkenaan Fuziah Salleh berkata ia sebagai langkah persediaan jika berlakunya insiden bekalan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak dan tepung, terputus di kawasan dilanda bencana itu.

“Kita sudah mengeluarkan arahan kepada negeri-negeri yang selalu terlibat dengan banjir untuk memberi lesen khas (kepada pemborong) untuk menambah simpanan stok mereka. 

“Kelantan sudah pun memulakan di mana mereka telah melantik lebih 100 pemborong…mereka menambah stok 30 peratus supaya kalau terputus bekalan, mereka sudah ada simpanan stok tambahan di pemborong-pemborong yang dilantik KPDN,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Simposium Kewangan Mampan 2023 di Bangunan Parlimen hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam kenyataan hari ini memaklumkan hujan lebat berterusan tahap buruk dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kelantan serta seluruh Terengganu sehingga Ahad ini (26 Nov).

Amaran hujan berterusan turut dikeluarkan bagi keseluruhan daerah di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang manakala di Perak melibatkan beberapa kawasan seperti Kerian; Larut, Matang dan Selama; Hulu Perak; Kuala Kangsar dan Manjung bermula esok hingga Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here