PUTRAJAYA, 25 Nov – Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 merupakan platform terbaik kepada usahawan desa untuk mendapat bimbingan dan khidmat nasihat bagi meningkatkan produktiviti serta mengembangkan perniagaan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata karnival yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lepas di Anjung Floria di sini, disertai pelbagai kementerian dan agensi yang menyediakan program pengukuhan keusahawanan dan pembiayaan kewangan kepada usahawan desa.

Antara agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang terlibat dalam karnival itu ialah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), katanya.

“Penganjuran KUD@Putrajaya 2023 ini akan memberi impak positif kepada produk keluaran usahawan tempatan bukan sahaja dari segi jumlah jualan, tetapi paling penting dapat memberi persepsi yang positif bahawa kualiti produk usahawan tempatan khususnya usahawan desa adalah setanding dengan produk yang diimport dari luar negara,” katanya.

Teks ucapan Ahmad Zahid dibacakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang pada Majlis Perasmian KUD@Putrajaya 2023 di sini hari ini, yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUD@Putrajaya 2023 yang memasuki edisi ke sembilan itu disertai lebih 800 usahawan desa, dengan sasaran sejuta pengunjung dengan transaksi RM10 juta dalam bentuk tunai serta padanan perniagaan.

Bagi mencapai hasrat kerajaan untuk membentuk semangat keusahawanan yang utuh, Ahmad Zahid berkata sejumlah geran diperuntukkan antaranya RM2.83 juta melalui Program Pensijilan Perniagaan – Business Enrichment, Standardization and Transformation (BEST), RM2.78 juta menerusi Program Sokongan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) dan RM162 juta melalui Program Professional Financing Scheme (ProSPEC) MARA.

“Pembentukan masyarakat Malaysia yang berpemikiran keusahawanan merupakan asas dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara keusahawanan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.

Menzahirkan penghargaan atas sambutan daripada pengunjung yang hadir ke karnival berkenaan sejak hari pertama penganjuran, Ahmad Zahid berkata pihaknya turut mengedarkan secara percuma kupon bernilai keseluruhan RM200,000 kepada pengunjung bagi memeriahkan jualan usahawan yang menyertai Program KUD@Putrajaya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here