KUCHING, 28 Nov – Penerbangan terus dari Kuching ke Pontianak dijangka disambung semula tahun depan, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin. 

Beliau berkata Indonesia secara prinsipnya bersetuju untuk pengoperasian penerbangan berkenaan pada Mesyuarat Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) yang diadakan bulan lepas.

“Bagaimanapun, bila (tarikh pengoperasian) penerbangan itu kita tak tahu dan dari segi kekerapan penerbangan belum dibincangkan tetapi AirAsia sudah menunjukkan (minat) untuk terbang ke laluan ini,” katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapan penggulungannya pada persidangan berkenaan, Lee berkata Malaysia telah membangkitkan dalam Air Linkages Working Group bahawa laluan penerbangan dalam kawasan BIMP-EAGA menghubungkan Sarawak dan Pontianak, Indonesia telah digantung sejak Mac 2022.

“Dalam mesyuarat itu, Malaysia telah mencadangkan kepada kerajaan Indonesia untuk menyambung semula pengoerasian Lapangan Terbang Antarabangsa Supadio di Pontianak,” katanya

Dalam pada itu, beliau berkata laluan bas antara sempadan Singkawang-Kuching bakal bermula 1 Dis ini, dengan dua bas dari bandar raya ini akan digerakkan sebagai permulaan. 

Kerajaan negeri, katanya akan memperluas perkhidmatan bas rentas sempadan berkenaan dari semasa ke semasa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here