KUALA LUMPUR, 29 Nov – Malaysia berjaya merundingkan beberapa fleksibiliti berkaitan Bab Perolehan Kerajaan (PK) di bawah Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

Timbalan Menteri Kewangan II Steven Sim Chee Keong berkata ini bagi meneruskan agenda membantu syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi meraih kontrak kerajaan.

Beliau menjelaskan Malaysia turut memperoleh keutamaan harga bagi perolehan bekalan dan perkhidmatan di bawah CPTPP dengan syarikat bumiputera diberi keutamaan berdasarkan kategori, nilai perolehan dan peratusan keutamaan.

“Aspek keutamaan ini juga dipanjangkan kepada syarikat tempatan lain yang membekalkan barangan dan perkhidmatan daripada negara-negara CPTPP,” katanya pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (Bayan Baru-PH) mengenai impak CPTPP ke atas industri kecil dan sederhana bagi mendapatkan kontrak kerajaan serta bagaimana kerajaan memastikan syarikat berkenaan dapat bertahan dalam persaingan dengan syarikat besar asing.

Sim berkata Malaysia juga mendapat kelonggaran bagi membangunkan syarikat tempatan dan syarikat bumiputera dalam sektor pembinaan.

Menerusi usaha itu, kerajaan dibenarkan memperuntukkan sehingga 30 peratus daripada nilai tahunan kontrak perolehan kerja yang tertakluk dengan CPTPP kepada kontraktor bumiputera untuk kontrak kerja yang melebihi nilai ambang.

“Tambahan lagi, nilai perolehan melibatkan kontraktor kerja gred G1 hingga G6 adalah tidak tertakluk di bawah Bab PK. Secara umumnya, syarikat tempatan termasuk PKS masih boleh menyertai perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja di bawah nilai ambang Bab PK CPTPP ini,” katanya.

Menurut Sim, Malaysia berjaya merundingkan beberapa pengecualian di bawah Bab PK dalam usaha meneruskan peluang PKS menyertai perolehan kerajaan, termasuk perkongsian awam-swasta (PPP) seperti projek bina-operasi-pindah dan konsesi kerja awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here