KUALA LUMPUR, 30 Nov – Rokok elektronik atau vape tidak lagi boleh diiklankan, dipromosi  dan terlibat dalam tajaan, selepas Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dikuatkuasakan.

Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata peruntukan larangan pengiklanan, promosi dan tajaan produk merokok yang sudah dikuatkuasakan dalam undang-undang sedia ada, kini diperluaskan kepada semua produk termasuk rokok elektronik, produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau tiruan.

Beliau berkata rang undang-undang itu menerusi Fasal 3, 4, 5 dan 6 juga memperuntukkan semua pengimport dan pengilang produk merokok wajib membuat pendaftaran kepada setiap produk tembakau yang dihasilkan untuk pasaran Malaysia.

“Ini penting dan kritikal kerana ia membolehkan setiap produk direkod spesifikasi dan kandungannya, selain memudahkan penguatkuasaan di lapangan termasuk mengenal pasti produk tidak berdaftar,” katanya  ketika membentangkan rang undang-undang itu bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini.

Dr Zaliha berkata rang undang-undang itu penting untuk dikuatkuasakan, bukan sahaja bagi mengatasi kelompongan di dalam perundangan sedia ada dan melindungi golongan bukan perokok kepada kesan sampingan asap rokok, malah kepada golongan kanak-kanak atau didefinisikan sebagai Orang Belum Dewasa (OBD).

— LAGI

PARLIMEN-ROKOK 2 (AKHIR) KUALA LUMPUR

Beliau berkata ini kerana statistik terkini menunjukkan lima juta rakyat Malaysia dalam lingkungan umur 15 tahun dan ke atas merupakan perokok.

“Dengan kewujudan dan trend rokok elektronik atau vape ketika ini, jumlah perokok dalam lingkungan usia berkenaan dijangka akan terus meningkat.

“Malah tinjauan kesihatan dan komorbiditi kebangsaan mendapati jumlah perokok dalam lingkungan usia itu iaitu bermula seawal 15 tahun, meningkat sekali ganda kepada 1.2 juta pada 2019 berbanding 600,000 perokok pada 2016,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Zaliha berkata Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023, akan mengawal selia tiga kategori produk merokok iaitu pertama, produk tembakau yang ditafsir sebagai tembakau yang diproses atau apa-apa produk mengandungi tembakau bagi kegunaan manusia.

“Kedua, apa-apa gabungan bahan digunakan untuk merokok termasuk nikotin, Propylene Glycol, Glycerol atau Triethylene glycol (yang boleh didapati di dalam rokok elektronik).

Ketiga, produk pengganti tembakau iaitu apa-apa produk yang diproses selain produk tembakau (seperti daun nipah) yang boleh digunakan dengan atau tanpa bahan merokok,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here