KUALA LUMPUR, 6 Dis – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah menampilkan pelbagai inisiatif dalam usaha menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang pertanian, termasuk memperkenalkan pertanian pintar yang banyak menggunakan teknologi moden.

Timbalan Menterinya Datuk Datuk Chan Foong Hin berkata ia termasuk mengadakan program automasi dan mekanisasi dalam bidang agromakanan untuk meningkatkan penggunaan teknologi moden dalam bidang itu.

“Bidang pertanian selalu membawa persepsi ia adalah kerjaya untuk warga emas, menyebabkan anak muda kurang berminat untuk menceburinya. Sebenarnya bidang pertanian kini sudah memasuki era pertanian pintar dan anak muda boleh menggunakan pelbagai peralatan, termasuk dron untuk semburan racun atau baja.

“…malah mereka juga boleh menggunakan Internet of Things (IoT). Kesemua ini boleh membawa perubahan kepada landskap pertanian,” katanya ketika menjadi tetamu pada program Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM yang disiarkan di saluran TV1, sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI.

Selain itu, katanya kementerian turut melaksanakan kerjasama merentasi kementerian, seperti kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital Malaysia, untuk meningkatkan usaha memperkenalkan pertanian pintar.

Beliau berkata MDEC berperanan mengikitraf beberapa syarikat bertauliah yang berupaya membekal teknologi moden dalam bidang pertanian yang kemudiannya teknologi itu diadaptasikan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here