KOTA KINABALU, 28 Dis – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menyasarkan untuk menurunkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) hingga 100 minit menjelang 2030 dalam usaha mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

Pengerusi SESB Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata nilai SAIDI dalam sistem bekalan elektrik Sabah kini adalah kira-kira 274.43 minit yang dapat diturunkan berbanding 4,109 minit pada 2005, 424 minit pada 2013 dan 302 minit pada tahun lepas.

“Banyak kemajuan telah dicapai dalam nilai SAIDI tetapi SESB akan bekerja keras untuk terus mengurangkannya bagi menjamin keperluan bekalan elektrik yang boleh diharap dan diyakini ke semua kawasan dan di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan buku The SESB Story bersempena dengan sambutan Jubli Perak ke-25 SESB dan sambutan Krismas serta Tahun Baharu di sini Khamis.

Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata nilai SAIDI itu antara lima cabaran dihadapi SESB ketika ini, selain mencapai sasaran margin rizab bekalan tenaga elektrik sebanyak 30 peratus berbanding pada masa kini hanya pada paras 12 peratus, yang menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada pengguna.

Beliau berkata kebergantungan kepada Subsidi Sokongan Tarif (TSS) daripada kerajaan Persekutuan menyebabkan aspek kelestarian kewangan SESB berada pada tahap kritikal dan pada tahun lepas, TSS telah mencecah RM862 juta.

“SESB menjual elektrik pada kadar purata tarif asas 34.52 sen seunit elektrik (sen/kWj), jauh lebih rendah berbanding kos purata penjanaan iaitu 43.83 sen/kWj. Perbezaan kadar ini mengakibatkan kerugian purata sebanyak 10 sen/kWj bagi setiap unit elektrik yang dijual,” katanya.

Selain itu, bagi melestarikan kewangan SESB, beliau berkata adalah penting bagi SESB mengurangkan kebergantungan kepada mana-mana pihak termasuk subsidi kerajaan untuk memiliki keupayaan penjanaan elektrik sendiri sekurang-kurangnya beban utama SESB sebanyak 700 MW.

Sementara itu pada sidang media, Madius berkata SESB telah bersedia untuk mengambil alih semula kuasa mengawal selia bekalan elektrik negeri selepas persidangan khas Dewan Undangan Negeri Sabah yang dijadualkan pada 3 Jan tahun depan.

Beliau berkata kerjasama antara pengawal selia dengan pembuat dasar penting agar kepentingan semua pihak dapat dilihat bersama dan pada masa sama pengguna juga harus memahami peranan SESB terutamanya berkaitan tarif yang bukan di bawah SESB tetapi ditentukan Suruhanjaya Tenaga. – BERNAMA


LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here