KUALA LUMPUR, 3 Jan — Pelancaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di negara ini semalam, menandakan satu peristiwa penting dalam usaha kerajaan untuk mencapai kecekapan dan keterangkuman dengan tidak meminggirkan sesiapa, kata pakar teknologi maklumat.

Freddy Loo yang pakar dalam data dan teknologi kecerdasan buatan (AI) berkata beliau gembira kerana pihak (kerajaan) mengambil inisiatif mewujudkan pangkalan data berpusat kerana usaha itu sudah lama tertangguh, selain menandakan perubahan daripada amalan setiap kementerian sebelum ini yang mencipta pangkalan data tersendiri.

“Hasrat yang murni, terutamanya memberi tumpuan kepada subsidi bersasar, sistem ini bukan sahaja tepat pada masanya, tetapi juga langkah yang sangat diperlukan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Loo berkata adalah jelas bahawa PADU menekankan keselamatan data dan siber, mengambil kira kejadian kebocoran data di negara baru-baru ini, bagaimanapun kebimbangan utama ialah kurang kejelasan mengenai pihak tunggal yang bertanggungjawab bagi keselamatan dan integriti data.

“Dalam dunia korporat, Ketua Pegawai Data memainkan peranan penting dalam menetapkan dasar dan langkah keselamatan, dan peranan sedemikian sama pentingnya dalam sektor kerajaan.

“Keselamatan merangkumi lebih daripada perlindungan teknikal, ia melibatkan dasar, kesedaran dan keupayaan yang kukuh untuk menghalang penggodam. Ia tentang menjadikan usaha untuk menggodam lebih mahal daripada nilai data itu sendiri, bagi menghalang penggodam,” katanya.

Beliau berkata menggalakkan rakyat mengemas kini data mereka secara sukarela ialah langkah yang positif, namun proses itu memerlukan penjelasan.

“Adakah langkah ini dilakukan sekali sahaja, adakah rakyat bertanggungjawab memastikan data mereka dikemas kini? Penyelarasan data di seluruh pangkalan data kerajaan adalah penting, sebagai contoh, jika terdapat pertukaran alamat, adakah rakyat perlu membuat kemas kini di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan PADU atau sebaliknya? Mengapa proses ini tidak dijalankan secara automatik untuk penyelarasan yang lancar?” katanya.

Sementara itu, Loo berpendapat pembangunan dalaman PADU oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dalam jangka masa singkat perlu dipuji kerana kejayaan seharusnya diukur bukan sahaja oleh kecekapannya, tetapi juga hasil positif terhadap masyarakat seperti hasrat langsung ini untuk meningkatkan kewangan kerajaan dengan mengurangkan subsidi.

“Kejayaan PADU perlu diukur oleh impak dan hasilnya kepada kerajaan dan rakyat untuk memastikan penerimaan terhadap inisiatif ini. Oleh itu, adalah penting menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) yang spesifik, boleh diukur dan dicapai, relevan dan terikat dengan masa (SMART), diawasi oleh Ketua Pegawai Data untuk mengesan dan melaksanakan matlamat dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Loo berkata beliau mengakui langkah positif itu kerana ia sesuatu yang baik dengan inisiatif kerajaan terbaharu Identiti Digital Nasional.

Sementara itu, Pengurus Besar PowerBloc Sri Utami Dewi Kasman berkata terdapat “musuh negara” yang memiliki sumber kewangan dan tenaga kerja yang bersedia untuk melabur bagi mendapatkan data berkenaan, manakala pada pandangan penggodam siber, PADU dilihat sebagai tarikan untuk mereka menyerang.

“Saya yakin agensi yang membangunkan sistem ini telah merangka strategi keselamatan siber yang kukuh selaras dengan standard antarabangsa, sebagai contoh Kerangka kerja Institut Piawaian dan Teknologi (NIST) Jabatan Perdagangan Amerika Syarikat dan lain-lain, jadi mereka dapat lebih bersedia menghadapi ancaman semasa,” katanya.

Pengerusi Persatuan Teknologi Kebangsaan Malaysia (Pikom) Ong Chin Seong pula berkata pelaksanaan PADU akan membantu memperkemas data yang dikumpul oleh pelbagai agensi kerajaan dan kementerian untuk membuat keputusan dan campur tangan dasar yang lebih baik.

“Memandangkan kerajaan akan mengumpul sejumlah besar data dalam kalangan rakyat dan penduduk di negara ini, memberi keutamaan kepada keselamatan siber adalah penting. Pemeriksaan audit berkala diperlukan untuk memastikan data disimpan dengan selamat,” katanya.

Selain itu, Ong berkata undang-undang perlu ada untuk memberi jaminan bahawa pihak yang mengendalikan, memproses dan menggunakan data itu sedar akan tanggungjawab mereka.

“Pindaan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi sedang dikaji dan memperluas skopnya akan memastikan sektor awam tertakluk kepada syarat sama seperti swasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here