KUALA TERENGGANU, 7 Jan — Seorang warga emas berusia 60 tahun antara empat lelaki yang ditahan ketika leka berjudi di sebuah pusat karaoke di sini, malam tadi.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Khairul Azizi Idris berkata empat lelaki berusia antara 45 hingga 60 tahun itu ditahan pada 11.30 malam dalam operasi mencegah jenayah syariah di empat premis karaoke sekitar bandar raya Kuala Terengganu.

Beliau berkata ketika diserbu mereka memberi alasan baru tiba di pusat hiburan itu, namun hasil pemeriksaan menemukan sejumlah wang dan daun terap dipercayai digunakan untuk berjudi.

“Kesemua lelaki tersebut ditahan mengikut Seksyen 22(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 2001 untuk siasatan lanjut dan semua wang tunai serta daun terup tersebut telah disita.

“Bagaimanapun, mereka telah dilepaskan dengan jaminan hadir ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Khairul Azizi berkata jika sabit kesalahan, keempat-empat lelaki itu boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang kesalahan yang akan dikenakan tindakan tegas oleh JHEAT.

“Kita akan memperkasakan lagi operasi ini di premis-premis dikenal pasti untuk mencegah umat Islam daripada melakukan kesalahan jenayah syariah,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here