KUALA LUMPUR, 8 Jan — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih hari ini.

Istiadat perbarisan berkenaan yang diadakan bersempena dengan tamat pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Jan ini berlangsung di Kem Perdana, Sungai Besi di sini. 

Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Jan 2019 selepas menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15. 

Kali terakhir istiadat sama diadakan adalah pada 2016 semasa Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah menamatkan tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Istiadat itu melibatkan 40 pegawai dan 888 anggota lain-lain pangkat daripada ketiga-tiga ketumbukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) iaitu tentera darat, laut dan udara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here