KANGAR, 10 Jan – Kerajaan Perlis akan mewajibkan penggunaan tulisan Jawi diguna pakai untuk semua pemasangan papan tanda baharu di negeri itu bermula 1 Feb depan, dalam usaha menyemarakkan kembali penggunaan tulisan itu dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Asrul Aimran Abd Jalil berkata pada masa ini, pihaknya telah berada pada proses akhir penyusunan garis panduan bagi pelaksanaan syarat itu, sebelum diwar-warkan kepada umum.

Asrul Aimran berkata syarat itu hanya akan diguna pakai kepada permohonan baharu untuk kelulusan pemasangan papan tanda di premis masing-masing.

“1 Feb nanti permohonan baharu kena masukkan tulisan Jawi pada papan tanda setiap premis, namun papan tanda yang sedia ada, kita tidak kacau, jika papan tanda yang dah ada ini rosak, dan perlu diperbaharui, itu perlu ikut syarat ini, wajib ada guna tulisan Jawi,” katanya kepada Bernama hari ini.

Asrul Aimran berkata langkah itu juga, sebagai antara usaha kerajaan negeri untuk memberikan pendidikan mengenai tulisan Jawi secara tidak langsung kepada penduduk di Perlis, terutamanya golongan muda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here