PUTRAJAYA, 15 Jan – Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) kali ke-19 dan Third South Summit of the Group of 77 and China (G77+China) di Kampala, Uganda dari 17 hingga 22 Jan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Uganda selaku Pengerusi NAM (2024-2027) dan G77+China (2024) akan menjadi tuan rumah kedua-dua sidang kemuncak itu yang masing-masing bertemakan “Deepening Cooperation for Shared Global Affluence” dan “Leaving No One Behind”.

“Malaysia merupakan negara anggota NAM yang aktif dan negara pengasas G77+China. Kedua-dua organisasi ini merupakan platform utama untuk mempertahankan kepentingan negara-negara membangun, termasuk Malaysia berhubung isu geopolitik dan geoekonomi,”menurut kenyataan itu.

Timbalan Menteri Luar akan menyampaikan Kenyataan Negara pada sesi Debat Umum Sidang Kemuncak NAM dan Third South Summit.

Kenyataan Negara itu, antara lain akan menekankan keperluan untuk mengukuhkan perpaduan dan solidariti dalam kalangan negara-negara membangun NAM dan G77+China serta memantapkan proses pelbagai hala.

Mohamad turut akan menyentuh isu utama global dan serantau, termasuk situasi di Palestin, Laut China Selatan, Islamofobia, Agenda Pembangunan Mampan 2030, tindakan iklim dan reformasi Institusi Kewangan Antarabangsa.

Menurut Wisma Putra, sebagai ahli Jawatankuasa NAM mengenai Palestin, Malaysia juga akan mengetengahkan pendirian negara berhubung isu Palestin.

Malaysia akan memperjuangkan hak penentuan nasib sendiri dan kenegaraan mereka berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara; dan mengheret Israel ke muka pengadilan untuk genosid dan jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Kehadiran Timbalan Menteri Luar dan penglibatan aktif Malaysia di NAM dan G77+China mencerminkan komitmen teguh negara dalam mengukuhkan Kerjasama Selatan-Selatan.

“Ini memberi peluang untuk Malaysia meneroka kerjasama menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) yang berada di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri,” menurut kenyataan Wisma Putra.

Mohamad juga akan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, termasuk dari rantau Afrika, yang mempamerkan kepentingan rantau itu, di samping menilai dan mengorak langkah-langkah strategik hubungan dua hala dengan negara-negara berkaitan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here