SANDAKAN, 17 Jan – Pusat Konservasi Beruang Madu Borneo (BSBCC) di Sepilok dekat sini mempunyai jambatan baharu yang turut menyediakan kemudahan laluan baharu bagi pengguna kerusi roda.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Wong Siew Te berkata pada mulanya pusat itu mahu menggantikan laluan pejalan kaki sepanjang 12 meter (m) yang dikenali sebagai Jambatan Gelugob yang perlu mendaki anak tangga ke pintu masuk pusat itu, tetapi memutuskan membuat laluan baharu menjadikan BSBCC boleh diakses oleh pengunjung kurang upaya terutama mereka yang berkerusi roda.

“Sebahagian daripada objektif BSBCC adalah menawarkan pendidikan dan kesedaran mengenai pemuliharaan beruang madu dan ia termasuk kepada semua lapisan masyarakat,” katanya pada majlis pelancaran jambatan itu sempena ulang tahun ke-10 BSBCC hari ini. 

Wong mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas sokongannya dan Yayasan Sime Darby yang membantu BSBCC mendapatkan dana mencukupi untuk membina semula jambatan itu dengan kos RM440,000 yang siap pada 20 Dis.

Jambatan sepanjang 68m dengan lantai daripada bahan komposit plastik kayu dan struktur menggunakan bahan tugas berat, dilancarkan oleh Ketua Konservator Hutan Datuk Frederick Kugan.

“Jambatan Gelugob yang baharu dibina bagi menggantikan jambatan lama yang dibina oleh sukarelawan Raleigh International pada 2009, menggunakan papan Belian terpakai diambil daripada pagar yang dibina untuk Badak Sumatera di Pusat Pembiakan Badak yang ditubuhkan di Sepilok pada 1980-an.

“Jambatan ini dinamakan sempena badak Sumatera betina dikenali sebagai Gelugob merupakan badak tertua dalam kurungan, meninggal dunia pada usia 37 tahun akibat penyakit berkaitan usia pada Januari 2014,” katanya.

Wong juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana bukan sahaja menyokong usaha BSBCC, tetapi juga memainkan peranan penting membawa masuk pelancong ke negeri ini, terutama ke Sandakan.

“Sejak BSBCC dibuka kepada orang ramai pada Januari 2014, seramai 553,760 pelawat diterima dengan pelawat antarabangsa menyumbang 60 peratus daripada jumlah keseluruhan.

“Selain itu pusat ini turut menerima kunjungan 397 kumpulan sekolah tempatan dan antarabangsa terdiri daripada 15,174 pelajar dan pendidik,” katanya.

Frederick berkata jambahan baharu itu tepat pada masanya untuk menampung peningkatan jumlah pengunjung ke Sepilok, yang menjadikan BSBCC saling melengkapi sebagai pusat alam semula jadi lain di sekitarnya, iaitu Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pusat Penemuan Hutan Hujan untuk memberi kesedaran dan pendidikan kepada orang ramai.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here