KUALA LUMPUR, 18 Jan – Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan memberi manfaat kepada Malaysia dalam jangka masa panjang melalui aktiviti buruh dan aliran pelaburan rentas sempadan. 

Ketua Ahli Ekonomi Pejabat Penyelidikan Makroekonomi Asean+3 (AMRO) Hoe Ee Khor berkata SEZ akan menjadi pencetus perubahan untuk Malaysia dan Singapura berikutan kedua-dua ekonomi itu amat berkait rapat dan SEZ akan melengkapkan kedua-duanya.

“Singapura adalah ekonomi dengan sumber tenaga kerja yang terhad dan amat bergantung kepada pekerja asing. Antara sumber utamanya untuk pekerja asing ialah Malaysia.

“Singapura juga mempunyai banyak modal dan Malaysia akan mendapat manfaat daripada aliran pelaburan dari Singapura ke Johor.

“Oleh itu, (faktor) tersebut akan meningkatkan kedua-dua ekonomi dalam jangka masa panjang,” katanya pada taklimat media secara maya mengenai kemas kini suku tahunan Tinjauan Ekonomi Serantau Asean+3 (AREO) di sini hari ini.

Pada 11 Jan, Malaysia dan Singapura menandatangani memorandum persefahaman untuk menjayakan JS-SEZ dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara Johor dan Singapura.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong menyaksikan majlis pemeteraian tersebut.

JS-SEZ dijangka meningkatkan lagi perdagangan antara Johor dan Singapura, dan boleh berkembang maju seperti bandar raya Shenzhen di China, yang menjadi bukti kejayaan sebagai sebuah zon ekonomi khas.

Ia turut dijangka menambah baik ekosistem perniagaan Iskandar Malaysia dan Singapura.

Antara sektor yang disasarkan zon itu ialah elektronik, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan berkaitan perniagaan dan penjagaan kesihatan.

Pada tahun lepas, Johor meraih pelaburan asing bernilai RM70.6 bilion dalam pelbagai sektor.

Singapura merupakan pelabur asing kedua terbesar di negeri itu, menyumbang kira-kira 70 peratus daripada jumlah pelaburan langsung asing Johor dalam sektor pembuatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here