KUALA LUMPUR, Jan 22 – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) pada 29 September 2023 dan 3 Januari 2024 telah meluluskan permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melantik tetap seramai 1,197 calon simpanan meliputi seramai 857 calon pegawai perubatan dan 340 pegawai farmasi.

Pelantikan ini bertujuan untuk mengisi baki kekosongan jawatan selepas selesai urusan 1,508 calon simpanan pegawai perubatan dan pegawai farmasi fasa pertama yang melapor diri bertugas pada 18 Disember 2023.

Selaras dengan kelulusan SPA, semua calon simpanan yang menerima surat tawaran pelantikan tetap telahpun dimaklumkan untuk melengkapkan urusan setuju terima pelantikan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan (MySTP) SPA. Urusan ini telah berlangsung dalam tempoh 21 hari bermula 29 Disember 2023 (calon pegawai perubatan) dan 3 Januari 2024 (calon pegawai farmasi).

Sepertimana jaminan ketelusan dalam urusan penempatan lantikan tetap sebelum ini, penempatan pada kali ini terus dilaksanakan menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk calon pegawai perubatan dan sistem e-pharmacist untuk calon pegawai farmasi.

Sehubungan itu, setiap calon telah dimaklumkan untuk membuat pemilihan penempatan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas dalam tempoh sistem dibuka dari 15 Januari hingga 17 Januari 2024. Tawaran pelantikan tetap terbatal sekiranya calon tidak membuat pemilihan penempatan dalam tempoh yang ditetapkan.

KKM telah menyediakan saluran untuk calon yang ingin mengemukakan rayuan pertukaran penempatan menerusi google form bermula 15 Januari hingga 19 Januari 2024. Rayuan yang dikemukakan menerusi google form dalam tempoh yang ditetapkan sahaja akan dibawa untuk pertimbangan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan.

Keputusan Jawatankuasa Rayuan Penempatan akan dimaklumkan kepada calon menerusi portal Semakan Kerjaya KKM pada 31 Januari 2024.

Penempatan calon ke fasilliti akan dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri mulai 12 Februari 2024. Tarikh pelantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 4 Mac 2024.

Calon yang tidak dapat melapor diri bertugas pada 4 Mac 2024, boleh memohon penangguhan sementara melapor diri bertugas kepada Ketua Jabatan baharu. Tertakluk kepada permohonan penangguhan sementara ini diluluskan, tarikh kuat kuasa peletakan jawatan berubah mengikut tarikh baharu calon melapor diri bertugas. Di sepanjang tempoh penangguhan ini, calon masih lagi berstatus kontrak dan perlu hadir bertugas, melainkan diluluskan cuti rehat bagi calon yang berkelayakan.

Selaras dengan ketetapan dalam Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.1.1.1 – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, calon yang menerima pelantikan tetap perlu mengemukakan notis 30 hari peletakan jawatan kepada Ketua Jabatan asal bagi tujuan menamatkan perkhidmatan kontrak dan memulakan perkhidmatan baharu secara tetap. Notis peletakan jawatan ini juga bertujuan membolehkan Ketua Jabatan asal menguruskan faedah kontrak kepada calon.

Gaji permulaan lantikan tetap adalah berdasarkan gaji akhir yang calon layak terima mengikut kontrak terakhir. Penetapan gaji ini akan dilaksanakan oleh Ketua Jabatan baharu berdasarkan rekod gaji akhir dan Buku Rekod Perkhidmatan Kerajaan yang berada di fasiliti.

Tindakan Yang Perlu Diambil Bagi Tujuan Pelantikan Tetap

Calon dimohon mengambil perhatian mengenai perkara-perkara penting berikut:

(a) melengkapkan urusan setuju terima tawaran pelantikan tetap menerusi sistem MySTP SPA dalam tempoh ditetapkan;

(b) melakukan log masuk ke sistem e-placement pada 15 hingga 17 Januari 2024;

(c) memilih penempatan mengikut fasiliti/ Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang ditawarkan dalam sistem e-placement;

(d) mencetak slip pengesahan pemilihan penempatan;

(e) membuat semakan penempatan ke fasiliti dengan JKN masing- masing mulai 12 Februari 2024;

(f) mengemukakan notis peletakan jawatan bagi menamatkan perkhidmatan kontrak dan memulakan perkhidmatan secara tetap kepada Ketua Jabatan asal; dan

(g) melapor diri bertugas ke fasiliti pada 4 Mac 2024, melainkan calon memohon dan diluluskan penangguhan sementara melapor diri bertugas oleh Ketua Jabatan baharu.

KKM mengucapkan tahniah kepada semua calon simpanan yang telah berjaya dilantik secara tetap dan bakal melapor diri bertugas. Semoga dengan pelantikan tetap ini, semua calon akan terus komited dan memberikan perkhidmatan lebih cemerlang demi kesejahteraan masyarakat MADANI.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here