KUALA LUMPUR, 23 Jan – Peranan juruukur bahan dalam industri pembinaan yang  berkembang pesat tidak boleh diabaikan malah lebih ramai tenaga profesional teknikal itu diperlukan ketika ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata sebagaimana jurutera dan arkitek, peranan juruukur bahan sangat penting dalam menjayakan setiap aktiviti pembinaan. 

“Mereka (juruukur bahan) terlibat secara langsung dalam pengurusan kewangan dan kontrak binaan dari awal hingga akhir. 

“Oleh itu, juruukur bahan perlu bekerjasama dengan disiplin lain untuk memastikan kejayaan sesuatu projek,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Konvensyen Antarabangsa Ukur Bahan (QSIC) dan penyampaian Anugerah Lembaga Juruukur Bahan Malaysia (LJBM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini.

LJBM mempunyai lebih 5,558 ahli yang berdaftar sebagai juruukur bahan profesional ketika ini.

Dalam pada itu, Nanta berkata penganjuran QSIC tahun ini bertujuan merancakkan lagi perbincangan mengenai topik dan isu yang berhubung dengan industri pembinaan khususnya bidang ukur bahan.

“Saya percaya dengan penganjuran QSIC 2023/2024 ini, perkongsian idea, ilmu, pengalaman peserta dan kerjasama strategik daripada pelbagai pihak khususnya jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya, menjadi daya penggerak bagi menjamin kualiti profesion serta industri agar terus mencapai tahap yang lebih cemerlang,” katanya.

Dalam majlis itu, Alexander turut menyampaikan enam anugerah kepada individu dan kumpulan kerja bagi menghargai sumbangan serta kejayaan dalam bidang ukur bahan.

Enam kategori itu ialah Anugerah Emas, Anugerah Pencapaian Khas (Elit dan Inspirasi), Anugerah Inovasi, Anugerah Waja, Anugerah Perdana dan Anugerah Penghargaan kepada media atas jalinan kerjasama sebagai rakan media LJBM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here