PAPAR, 26 Jan – Projek naik taraf kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa Dua di atas tanah berkeluasan 30 hektar dijangka siap dalam tempoh tiga tahun, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata kos pembinaan LRA itu melibatkan peruntukan kira-kira RM365 juta bertujuan meningkatkan kapasiti rawatan air daripada 40 juta liter sehari (JLH) kepada 80 JHL.

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata bekalan air bersih daripada LRA itu bukan sahaja mampu membekalkan air kepada penduduk sekitar Papar tetapi juga sehingga kawasan Ulu Kimanis, Selatan Putatan dan sebahagian Kem Lok Kawi.

“Projek ini untuk menyelesaikan masalah gangguan bekalan air yang berlarutan lebih daripada lima tahun. Banyak kawasan di Papar ini menghadapi masalah gangguan bekalan air, ada yang hampir seminggu, ada kawasan masih mengalami catuan air setiap hari,” katanya kepada pemberita selepas  lawatan ke tapak projek LRA Kogopon di sini hari ini.

Menurut Armizan, projek naik taraf itu merupakan projek kecemasan yang pelru disiapkan mengikut jadual justeru, beliau meminta supaya kontraktor terlibat memberikan tumpuan menyiapkan bahagian rawatan air dalam tempoh 18 bulan agar bekalan air dapat disalurkan ke saluran paip sedia ada.

“Kalau ada isu berbangkit, saya buka ruang kepada kontraktor untuk beritahu saya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang dan ADUN Limbahau sama-sama (bekerjasama) macam mana kita boleh selesaikan (supaya) semua projek ini berjalan lancar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here