CAMERON HIGHLANDS, 27 Jan – Lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Raja, Blue Valley, semalam merupakan kawasan Hutan Simpan Sungai Wi D yang diterokai secara haram sejak tahun lepas oleh pengusaha kebun sayur walaupun pernah dikenakan tindakan.

Pegawai Daerah Cameron Highlands Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman berkata pemilik kebun warga tempatan itu pernah ditahan dan sitaan peralatan dilakukan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada April tahun lepas.

“Peneroka itu ada membuat permohonan permit penggunaan tanah hutan, namun Jabatan Perhutanan tidak memberi sokongan kerana keadaan cerun yang tinggi melebihi 35 darjah.

“Ia disebabkan ada risiko bahaya iaitu jika berlaku hujan yang banyak, cerun itu tidak dapat menampung dan berlaku gelinciran,” katanya pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba di lokasi kejadian itu di sini hari ini.

Beliau berkata pemantauan akan dilakukan secara berterusan oleh jabatan-jabatan berkaitan bagi menangani isu pencerobohan hutan di kawasan berkenaan.

Menurut Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 81 Akta Perhutanan Negara 1984.

Dua mayat mangsa kejadian tanah runtuh itu yang ditemukan semalam dikenal pasti sebagai Law Ha Phey, 36, dan Ki Shing Om, 48 tahun.

Tiga lagi mangsa terlibat ialah Shing Law Har, 56, Om Myu, 37, dan seorang wanita Thang Moung, 25 tahun.

Kesemua mangsa warganegara Myanmar itu merupakan pekerja di ladang sayur di situ.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here