KUALA LUMPUR, 30 Jan – Kerajaan menggalakkan penyertaan lebih banyak pihak swasta dalam program Station Naming Rights, yang membolehkan penaja menggabungkan jenama dan identiti syarikat dengan nama stesen tren dikendali Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan Prasarana Malaysia Sdn Bhd. 

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata program tersebut sekali gus membantu mengurangkan kos kerajaan serta menjadi strategi pemasaran dan penjenamaan yang baik kepada syarikat berkenaan. 

Beliau berkata ia secara tidak langsung juga memberi manfaat kepada pengguna pengangkutan awam  mendapat kemudahan dan perkhidmatan yang lebih baik. 

“Dari segi nilai (perjanjian) terpulang kepada pihak MRT (dan Prasarana). Pihak swasta ini juga bertanggungjawab dalam penyelenggaraan stesen seperti kebersihan dan sebagainya…jadi ia situasi menang-menang buat semua pihak,” katanya kepada pemberita pada majlis pengenalan Stesen MRT, TTDI-Deloitte di sini hari ini. 

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Deloitte Malaysia Yee Wing Peng dan Pengerusi Deloitte Asia Tenggara Philip Yuen.

Sementara itu, Mohd Zarif berkata setakat ini lapan syarikat telah menyertai program tersebut dan antara stesen MRT terlibat adalah Aeon Maluri, Manulife Semantan dan Cyberjaya City Centre Limkokwing. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here