KUALA LUMPUR, 15 Feb – Semua pihak diminta agar tidak meneruskan polemik tidak sihat serta mengelirukan berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan sebagai batal dan tidak sah pada Jumaat lepas.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, berkata perkara itu perlu dilakukan demi kemaslahatan masyarakat.

Beliau turut menjunjung kasih titah nasihat serta pandangan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) berhubung isu itu dan berharap nasihat baginda dijadikan panduan serta dituruti semua pihak tanpa mengira fahaman politik.

“Semua pihak kini perlu bertenang, hormati proses Jawatankuasa Khas yang telah ditubuh di bawah MKI yang diberi masa setahun untuk menyediakan cadangan-cadangan dan tidak mendahului proses yang telah diumum ini.

“Kementerian Komunikasi akan memberikan kerjasama penuh serta menuruti titah nasihat dan pandangan Tuanku Sultan Selangor,” katanya menerusi catatan di media sosial hari ini.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menitahkan semua pihak supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan serta kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara yang perlu sentiasa didukung oleh rakyat.

Baginda bertitah demikian susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada Jumaat lepas bahawa 16 kesalahan jenayah syariah dalam Enakmen Kanun Syariah Jenayah Kelantan batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk menggubal peruntukan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan meliputi kesalahan sama.

Sultan Sharafuddin bertitah Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri sedang meneliti persoalan yang berbangkit antaranya mengkaji keputusan-keputusan mahkamah tertinggi dan membincangkannya secara terperinci.

Jawatankuasa khas itu diberi tempoh setahun dari tarikh ia ditubuh untuk memberikan sebarang cadangan kepada MKI dan seterusnya diangkat kepada Majlis Raja-Raja bagi diperhalusi serta diperkenan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here