KUALA LUMPUR, 20 Feb – Pengamal perubatan tradisional dan komplimentari (PT&K) yang mengutip cukai perkhidmatan sejak 2018 dikehendaki menyerahkan semula kutipan tersebut kepada kerajaan, kata Kementerian Kewangan.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata bagi pengamal PT&K yang tidak mengutip cukai pula mereka perlu mengisytiharkan perkara itu kepada Jabatan Kastam.

“Sekiranya anda telah mengutip daripada pesakit anda (cukai perkhidmatan), ia perlu diserahkan kepada kerajaan,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Anugerah Program Geran KL Kreatif dan Cabaran Bandar di sini hari ini.

Beliau berkata sejak 2018 pengamal perubatan PT&K termasuk dalam kategori perkhidmatan bercukai berikutan mereka yang memperoleh hasil RM500,000 setahun perlu berdaftar serta membayar cukai yang ditetapkan.

Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan bahawa pengamal perubatan PT&K yang berdaftar di bawah Akta PT&K 2016 [Akta 775] akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan lapan peratus.

Beliau berkata selagi pengamal PT&K berdaftar dengan akta di bawah Kementerian Kesihatan, mereka akan dikecualikan daripada cukai perkhidmatan itu yang akan berkuat kuasa pada 1 Mac 2024.

Selaras dengan keputusan itu, pengamal PT&K yang telah berdaftar dengan Akta itu tidak perlu mendaftar dengan Jabatan Kastam dan seterusnya tidak perlu mengenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan berikut: perubatan tradisional Melayu, perubatan tradisional Cina, perubatan tradisional India, homoeopati, kiropraktik, osteopati dan amalan pengubatan Islam.

Mengenai Majlis Anugerah Program Geran Kreatif KL dan Cabaran Bandar, sejumlah 24 projek telah diluluskan di bawah Program Geran KL Kreatif pada 2023, manakala dalam Cabaran Bandar, terdapat lapan projek secara keseluruhan.

Tiga projek memenangi hadiah utama RM200,000 manakala lima projek lagi menerima hadiah saguhati RM40,000.

Daerah Kreatif dan Budaya Kuala Lumpur (KLCCD) dijangka menjadi pemangkin perubahan yang akan mengubah ekonomi kreatif dan inovatif yang sedang berkembang, disokong degan suntikan RM20 juta oleh Kementerian Kewangan dalam Belanjawan 2024.

Ini merupakan sambungan peruntukan dari Belanjawan 2023 termasuk RM4 juta dalam geran yang dianugerahkan untuk meningkatkan daya hidup dan mempromosikan sektor kreatif dan budaya di KLCCD.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here